UMNO Sentiasa Bersama Rakyat, Kebajikan Jadi Diutamakan – Ir Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – UMNO merealisasikan ‘bersatu, bersetia, berkhidmat’ setiap masa dengan memanfaatkan setiap ruang dan peluang untuk membantu masyarakat yang berada dalam kesusahan, kata Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain.

Katanya, secara tidak langsung aktiviti dan program yang digerakkan  dapat merapatkan hubungan UMNO dengan masyarakat dalam situasi  pandemik  ini.

Jelasnya,  program yang diadakan oleh Pemuda UMNO Sabah adalah khususnya untuk masyarakat yang putus bekalan makanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.

“Gerak kerja yang dilakukan oleh Pemuda UMNO Sabah ialah mengagih-agihkan bakul makanan dan itulah yang diminta oleh penduduk-penduduk setempat yang terkesan akibat pandemik ini.

“Kita juga telah wujudkan 40 ‘food bank’ sekitar Kota Kinabalu, Putatan, Sepanggar terutama sekali di masjid-masjid dengan harapan  pemimpin masjid dapat memainkan peranan mereka memberikan bakul makanan kepada penduduk setempat.

“Kita buka ‘food bank’ mahukan qariah-qariahnya turut menyumbang dan juga menyediakan tempat untuk penderma bagi berkongsi rezeki dengan rakyat yang terkesan dan secara langsung dapat mengaplikasi masjid sebagai institusi yang membantu, membela umat Islam dalam keadaan sukar,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, katanya,  Pemuda UMNO Sabah turut membantu golongan B40 yang mempunyai permasalah kesihatan.

“Kita juga memainkan peranan membantu rakyat yang berada dalam golongan B40 untuk menerima pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Bahkan bukan saja B40, malah masyarakat yang berumur lebih 40 tahun turut dibantu dalam pemeriksaaan kesihatan.

Tambah Abdul Aziz, bantuan yang diberikan oleh Pemuda UMNO Sabah adalah untuk memudahkan cara agar mereka dapat berhubung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan  secara tidak langsung dapat meringankan beban yang ditanggung oleh golongan mereka. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.