COVID-19: Boleh Tarik Nafas Lega, Tapi Jangan Sampai Kita Leka – Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias berkata mencegah itu lebih baik dari mengubati dan jangan sudah terhantuk baru nak terngadah.

Katanya, kawal sempadan negara dengan sebaiknya dan lebih baik kawal ketat sekarang daripada keadaan tidak terkawal masa akan datang.

“Jawapan balas yang diberikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ini sedikit melegakan tambahan pula kita dimaklumkan bahawa varian Lambda ini terlalu tinggi kadar kebolehjangkitannya dan dikatakan kebal dari vaksin yang ada di Malaysia.

“Sedangkan varian Delta yang tembus masuk ke Malaysia ini pun sudah menjadikan kita agak huru hara dan serba tidak kena, tak boleh saya nak gambarkan apa akan jadi kalau varian Lambda ini berjaya menerobos masuk ke dalam negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau, varian Lambda ini masih belum ada langkah pencegahan tahap tertinggi tapi ia perlu dibuat terutamanya di pintu-pintu masuk sempadan negara.

“Varian Lambda yang pertama kali dikesan di Peru sudah merebak ke 26 buah negara seperti Chile, Argentina dan Ecuador.

“Mana-mana rakyat Malaysia atau individu yang baru pulang atau mempunyai sejarah perjalanan dari 26 negara ini tidak boleh menjalani kuarantin di rumah dan mereka perlu dikuarantin di pusat kuarantin khas sertan perlu dipantau dengan ketat dan rapi,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.