PM Wajar Letak Jawatan, Gagal Jaga Kebajikan Orang Asli – Ramli Mohd Nor

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor berpandangan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin wajar meletakkan jawatan kerana gagal menjaga kepentingan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli.

Jelas beliau ini kerana pentadbiran kerajaan di bawah Ahli Parlimen Pagoh itu tidak berupaya menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia sebagaimana termaktub dalam perkara 8(5)c Perlembagaan Persekutuan Malaysia secara total.

Ramli turut memberikan beberapa sebab kegagalan ini berdasarkan dasar-dasar yang diperkenal kerajaan Perikatan Nasional (PN):

1. Tiada plan pembangunan strategik dan hala tuju bagi membangunkan masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia bagi menyelesai masalah pendidikan, infrastruktur asas (jalan kampung, air bersih, elektrik, sekolah, klinik kesihatan dan lain-lain) ekonomi, pembangunan tenaga manusia, penyelesaian isu sosial dan tanah Orang Asli. Baik jangka pendek lima tahun kehadapan atau jangka panjang.

2. Tidak melaksanakan penubuhan Perbadanan Kemajuan Pembangunan Ekonomi Orang Asli (PKPEOA), sebagaimana model Majlis Amanah Rakyat (MARA) khusus untuk membangun ekonomi masyarakat Orang Asli walaupun bersetuju pada dasarnya semasa ketetapan Konvensyen Majlis Perundingan Melayu (MPM) oleh Perdana Menteri pada 1 Oktober 2020, ia pun disetujui juga oleh menteri ekonomi dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di peringkat Kementerian (Jabatan Perdana Menteri). Ini jelas berlaku apabila di mesyuarat penyelarasan pelaksanaan peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebagai pemegang taruh pelaksana dasar berkaitan masyarakat Orang Asli pegawai Kerajaan kementerian secara jelas menolak cadangan penubuhan tersebut dengan alasan ia akan menambah beban kewangan dan perjawatan kerajaan serta tidak wajar walaupun telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, menteri dan EPU. Persoalan timbul Perdana Menteri, menteri atau Little Napolean yang akan menentu dasar pembangunan masyarakat Orang Asli Malaysia?

3. Kerajaan gagal melantik Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dari kalangan masyarakat Orang Asli Semenanjung walau dasar tersebut telah dipersetujui serta dibiar kosong melebihi enam bulan oleh sebab pengaruh Little Napolean penjawat awam dalam kementerian.

4. Tiada representsi masyarakat Orang Asli di dalam Kabinet yang tidak melambang keperihatinan kerajaan kepada masyarakat Orang Asli Semenanjung.

5. Adalah jelas pentadbiran dan pengurusan perkhidmatan terhadap masyarakat Orang Asli Semenanjung adalah lebih amat baik zaman pemerintahan kerajaan Barisan National (BN)/ UMNO berbanding pemerintah Pakatan Harapan (PH) dan PN yang sekadar memberi janji manis atau lip service sahaja kepada masyarakat Orang Asli.

6. Dengan sedemikian, saya sebagai Ahli Parlimen Orang Asli tunggal, selepas 64 tahun negara merdeka menyaran dan menyeru masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia, agar semasa Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang memilih kembali BN/ UMNO kerana telah terbukti ia adalah pilihan terbaik berbanding PH dan PN yang kita boleh lihat hanya menumpu lebih kepada politik memperkukuh kesinambungan kedudukan politik dan kepentingan mereka dari menjaga kepentingan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli sebagaimana termaktub dalam perkara 8(5)c Perlembagaan Malaysia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.