Kabinet Baharu Perlu Realistik Bukan Syok Sendiri Dan Terlalu ‘Kayangan’ – Amin Mohd Shukor

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor berharap Perdana Menteri dan barisan Kabinet yang akan dilantik kelak dapat memberikan fokus kepada usaha menguruskan perkara asas berkaitan COVID-19 dan pelbagai aspek yang terkesan akibat pandemik ini.

Beliau turut menggariskan beberapa cadangan termasuk bilangan menteri Kabinet yang perlu dikecilkan.

Berikut pandangan yang dikongsikan menerusi hantaran di Facebook:

1. Bilangan menteri Kabinet yang lebih efisyen dan berfokus. Jika perlu dikecilkan jumlah menteri Kabinet pun bagus juga, kementerian-kementerian yang dilihat tidak menjadi keutamaan perlu digabungkan supaya lebih menjimatkan.

2. Keterlibatan secara menyeluruh pelbagai parti politik dalam Kabinet bagi memfokuskan tadbir urus menangani segala kesan akibat pandemik.

3. Barisan Kabinet yang lebih sensitif dan realistik peka dalam memahami situasi semasa samada merangka mahupun melaksana gerak kerja, diharapakan bukanlah Kabinet yang syok sendiri dan terlalu kayangan tidak memahami keadaan semasa.

4. Meneruskan fokus Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan fasa-fasa berikutnya.

5. Memperkenalkan kepelbagaian alternatif bagi menambah baik segmen ekonomi khusus buat rakyat. Hala tuju jelas untuk membantu segmen T20, M40, B40, golongan PKS, golongan belia, para karyawan dan penggiat seni dan bermacam lagi.

6. Pergiatkan usaha menambah baik pengukuhan nilai Ringgit Malaysia serta segala usaha yang mampu memberikan persepsi baik kepada pasaran saham.

7. Pelan perlaksanaan khusus bagi menambah baik dasar pendidikan dan perpaduan negara yang melibatkan penglibatan menyeluruh pelbagai kaum dan lebih mesra ‘pandemik C19’.

8. Perkukuhkan semula nilai-nilai asas keharmonian serta semangat cintakan negara dengan inisiatif-inisiatif yang lebih membina, juga hubungan diplomasi antarabangsa pelbagai negara perlu kembali diperkukuhkan bagi membuka kembali peluang- peluang yang boleh dicapai.

9. Setiap dasar dan polisi yang ingin dilaksanakan itu lebih bersifat mendidik rakyat dan bukan terlalu bersifat menghukum dan menyusahkan rakyat yang sudah sedia terhimpit sekarang ni.

10. Barisan Kabinet kali ini perlulah menjadi pemudah cara dan juru bicara rakyat, bukan barisan menteri kabinet yang acah-acah bagus, ada pun macam tiada.

“Ini hanya pada pandangan saya sahaja kebetulan terlintas dalam kepala masa tengah pilih ikan, mungkin ada juga yang perlu ditambah lagi,” ujar beliau. –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.