Ahli UMNO Diminta Ketepikan Perbezaan, Kembali Bertaut Demi Rakyat, Negara – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepada seluruh ahli dan kepimpinan UMNO di semua peringkat untuk mengenepikan segala perbezaan dan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini.

Katanya, negara menyaksikan kemelut politik yang meresahkan semua pihak sejak beberapa bulan lalu dan hari ini, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin telah mengumumkan peletakan jawatannya secara rasmi selaku Perdana Menteri.

“UMNO merakamkan terima kasih kepada beliau atas perkhidmatannya.

“Apa yang berlaku perlulah dijadikan teladan dan saya menyeru semua pihak untuk memandang ke hadapan dengan memberi sepenuh tumpuan hanya kepada satu matlamat bagi bersama-sama menjaga kesejahteraan rakyat dan membina kembali negara tercinta ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Justeru, katanya, UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara, akan mempertimbangkan beberapa calon.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama serta sokongan semua Ahli-ahli Parlimen.

“Sebagai manusia biasa, pastinya saya tidak dapat menyembunyikan perasaan terhiris apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan ke atas diri saya, sepanjang kemelut politik yang berlaku ini.

“Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar.”

Ujarnya lagi, bagi mengelakkan krisis daripada berulang, beliau ingin mencadangkan:

i. Sebuah kerajaan yang stabil mesti segera ditubuhkan untuk satu tempoh yang munasabah yang akan memfokuskan hanya menangani perang pandemik COVID-19 dan menguruskan soal-soal kesejahteraan rakyat yang semakin meruncing.

ii. Bagi tujuan ini, sebuah kabinet yang efektif mirip seperti ‘War Cabinet’ yang hanya memfokuskan proses pemulihan negara mendepani pandemik hendaklah dibentuk.

iii. Setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, maka Kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat.

iv. Bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan. Menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat. – UMNO Online

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2021/08/KENYATAAN-MEDIA-PRESIDEN-16-Ogos-2021.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.