Sebab Itu UMNO Bertindak Demi Pastikan Nyawa Rakyat, Nasib Negara Tidak Terus Dipertaruhkan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 15 Ogos –Kelihatan Ordinan Darurat lebih bermanfaat politik berbanding menyelamatkan rakyat dan negara, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujarnya, nada mereka mula berubah, mula bertutur dalam nada sedih lagi pilu gara-gara sedang terdesak.

“Harap maaf rakyat tidak boleh terpedaya lagi. Rakyat tahu ini cuma satu lagi permainan persepsi. Hakikatnya rakyat lebih sedihkan berpuluh ribu mereka yang telah kehilangan orang tersayang angkara kerajaan gagal.

“Saban hari ada rakyat kematian ibu, ayah, anak, isteri, suami, adik, abang, kakak akibat pandemik. Ini yang pilu.

“Rakyat lebih sedihkan ramai yang kini hidup dalam kemiskinan, penderitaan dan kesengsaraan. Disebabkan oleh dasar dan polisi menguruskan pandemik yang bias serta beragendakan kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan dalam laman facebooknya berkaitan isu ini.

Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), ketika rakyat desak laksanakan ‘total lockdown’, tetapi mereka laksanakan ‘total lockdown’ suam-suam kuku.

“Rakyat suruh tutup kilang bukan ‘essential’, mereka tutup perniagaan-perniagaan kecil yang kurang berisiko.

“Rakyat minta benarkan keluar wang KWSP, Menteri Kewangan kata KWSP bukan bank. Rakyat minta moratorium 2.0, kerajaan kata itu adalah mustahil.”

Katanya, selepas diasak bertalu-talu baru mereka benarkan tetapi itupun selepas Institusi Diraja mula bersuara.

“Ordinan Darurat pula seolah-olah diperkudakan untuk menggantung demokrasi. Jauh berbeza seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong iaitu Ordinan Darurat untuk membendung penularan COVID-19.

“Sepanjang pelaksanaan Ordinan Darurat jangkitan wabak malah semakin memburuk. Semasa Ordinan Darurat bermula kes jangkitan harian sekitar 3,000 dan selepas lapan bulan pelaksanaannya cecah 21,000.

“Rakyat desak percepatkan pemberian vaksin macam-macam alasan diberi sehingga negara Eropah pun dijadikan kambing hitam.”

Katanya, selepas kedudukan dan jawatan sudah tergugat baru kelam kabut dipercepatkan, baru mempertimbangkan keluhan peniaga.

“Bahaya kerajaan seperti ini. Kaki ‘spin’. Jika mahu dirungkai satu persatu kegagalan panjang senarainya.

“Maka rakyat sukar terpengaruh dengan cerita sedih mereka kerana rakyat ada masalah kepercayaan yang besar terhadap kerajaan PN.

“Dan sebab itu juga UMNO sebagai sebuah parti politik perlu bertindak demi memastikan nyawa rakyat dan nasib negara tidak terus dipertaruhkan,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.