Pertandingan Pidato ‘Online’ Serlah Minat Anak Muda, Petanda Baik Untuk UMNO – Zolkafly Harun

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – “Syukur Alhamdulillah selama tiga hari ini Penerangan UMNO Negeri Perak dapat melaksanakan pertandingan pidato secara online bagi peringkat Negeri Perak yang dianjurkan oleh Penerangan UMNO Pusat,” kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Katanya, pertandingan pidato secara maya ini mendapat sokongan ramai khususnya golongan muda yang menjadi bukti bahawa UMNO mendapat tarikan dari generasi terbabit.

“Ini adalah satu petanda yang sangat baik melihatkan kepada penyertaan bagi pertandingan pidato secara online ini. Saya mengucapkan syabas serta tahniah kepada Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan kerana telah mencetuskan pertandingan pidato secara online ini.”

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas menyampaikan sijil penyertaan dan hadiah kemenangan kepada peserta yang mewakili UMNO Bahagian Teluk Intan, Nazmi Md Zain yang telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pidato Online Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) peringkat Negeri Perak yang hari ini.


“Alhamdullilah penyertaan pidato ini hampir 48 peratus anak muda telah terlibat yang membabitkan penglibatan dari 17 bahagian daripada 24 bahagian UMNO seluruh negeri Perak,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas Zolkafly, tujuan pertandingan pidato ini amat baik iaitu untuk mencari bakat-bakat pelapis penceramah bagi UMNO sebagai persediaan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

“Saya penuh yakin dan bangga berdasarkan penyertaan anak-anak muda dalam pidato ini mereka akan menjadi penceramah  pada PRU ke 15 nanti sama ada secara bersemuka mahupun online.

“Saya mengharapkan agar 28 pemidato ini akan menjadi kekuatan kepada UMNO dan kemudian akan bertambah lagi anak-anak muda yang berkebolehan untuk berceramah dalam kempen PRU ke 15 kelak,” ujarnya lagi.

Turut sama mengikuti pertandingan ini secara ‘online’ Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Terdahulu, Ibu Pejabat Penerangan UMNO Malaysia mengadakan pertandingan pidato secara online dengan fasa peringkat negeri bermula 8 Ogos sehingga 31 Ogos 2021 bagi mencungkil dan mengasah bakat pemidato dalam parti.

Pertandingan ini terbuka kepada ahli UMNO berusia 18 tahun ke atas, dengan dua wakil setiap bahagian UMNO dan diuruskan oleh Penerangan UMNO Negeri masing-masing. Tiga pemenang peringkat negeri akan bertanding di peringkat kebangsaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.