Tawaran PM Hanya Gula-gula Politik Demi Hayat Politik Pihak Desperado – Wan Rosdy


KUANTAN, 14 Ogos – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berpandangan rangka persefahaman rentas parti yang mengemukakan tujuh tawaran kepada Ahli-ahli Parlimen sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin petang semalam, tidak lebih sekadar ‘gula-gula politik’ demi menyelamatkan hayat politik pihak desperado.

Ujar Menteri Besar Pahang itu, Perdana Menteri berasa perlu membuat pengumuman terbuka mengenainya membuktikan keadaan terdesak itu, namun cuba untuk menampakkan seolah-olah usaha sucinya bagi menyelamatkan negara.

“Bahawa beliau juga sendiri mengakui tidak ada satu pihakpun kini memperolehi sokongan majoriti di Parlimen, ialah satu pengakuan bersalah (admission of guilt) yang nyata di pihaknya, yang sebelum ini sering mengakui mempunyai majoriti berkenaan.

“Oleh itulah saya percaya, tawaran terbuka ini tidak akan mendapat sokongan Ahli-ahli Parlimen terutamanya dalam kalangan ahli-ahli UMNO yang masih setia dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) apatah lagi Perhimpunan Agung UMNO 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ulas Wan Rosdy lagi, sewajarnya Perdana Menteri lebih bersikap budiman (gentleman) tanpa perlu membuat tawaran terbuka ini yang dilihat sebagai satu sogokan tidak bermaruah dengan memanggil untuk mengadakan persidangan khas Parlimen sesegera mungkin bagi menentukan keabsahan kedudukannya.

Seterusnya Wan Rosdy juga menyeru semua pihak bersama berusaha sedaya-mungkin agar persepakatan yang telah terjalin antara UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) di peringkat nasional apatah lagi di Pahang, diperkukuhkan.

“Dan, inilah sebenarnya alternatif terbaik dalam mengharungi kemelut yang ada, Insya-Allah,” katanya.

Muhyiddin, di dalam perutusan khasnya petang semalam telah membuat beberapa tawaran dan janji bagi menyelamatkan kerusinya yang kini telah hilang majoriti antaranya seperti kerajaan PN akan berunding dengan pimpinan parti-parti di luar PN bagi luluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberi saraan, kemudahan setara Menteri Kanan dan rangka persefahaman rentas parti. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.