Rakyat Tuntut Moratorium Tanpa Faedah Terakru Diberi Pelbagai Alasan… Bila Hilang Majoriti Sogok Macam-macam Untuk MP


KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Pelbagai alasan yang dikemukan oleh kerajaan apabila rakyat tuntut moratorium tanpa faedah terakru, bidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Tetapi katanya, apabila kerajaan sudah hilang majoriti, boleh pula menawarkan bermacam-macam sogokan kepada Ahli-ahli Parlimen.

“Sejak dari awal tahun lagi, kami Pemuda UMNO memperjuangkan isu penangguhan bayaran balik ansuran bulanan bank (moratorium) untuk tempoh tiga ke enam bulan tanpa faedah terakru.

“Kenapa? Sebab ramai rakyat yang hilang punca pendapatan akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan terus-menerus dikurung secara berterusan berbulan-bulan. Sebab ramai di kalangan M40 yang kena buang kerja, cuti tanpa gaji mahupun pendapatan terjejas hingga simpanan pun dah kering nak bayar komitmen bulanan.

“Sebab ramai pengusaha mikro, kecil dan sederhana tiada kemasukan sepanjang dikurung dan tak mampu nak bayar komitmen bulanan termasuk gaji pekerja-pekerja, sewa pejabat dan utiliti yang tetap kena bayar walau perniagaan tak beroperasi. Sebab ramai yang perlu ikat perut bahkan catu makanan harian untuk keluarga kerana kurang wang tunai di tangan,” katanya di Facebook.

Tambahnya lagi, banyak lagi yang mahu disenaraikan dan semuanya sudah berbuih pihaknya terang dan bentangkan kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Nampaknya ternyatalah masuk angin keluar asap. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Janji nak pertimbangkan.

“Akhirnya arah Gabenor Bank Negara keluarkan kenyataan bank-bank akan rugi (sedangkan tahun lepas sahaja bank-bank isytihar keuntungan berbilion-bilion). Betullah #BankerJagaBanker!” tempelaknya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.