Cubaan Halalkan ‘Habuan’ Bersyarat Perbuatan Sangat Tidak Bermoral, Tidak Berakhlak


KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Perutusan semalam jelas cuba merekayasa watak ‘innocent’ (tak bersalah) untuk kerajaan tanpa majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN), bidas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, kerajaan yang gagal mengurus pandemik sehingga menyebabkan 12,000 nyawa terkorban cuba dipertontonkan sebagai ‘victim’ (mangsa) dan cuba mengubah keseluruhan plot cerita daripada kegagalan kerajaan PN kepada kerajaan yang kononnya jadi mangsa politik.

“Dengan alasan itu kemudian cuba menghalalkan ‘habuan’ bersyarat kepada ramai pihak supaya mengekalkan PN sebagai kerajaan Persekutuan.

“Ini perbuatan yang sangat tidak bermoral dan berakhlak oleh sebuah kerajaan Malaysia,” selarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Dengan alasan itu juga kata Ahmad Zahid, kerajaan cuba menakut-nakutkan rakyat konon program vaksinasi tidak akan berjalan lancar tanpa mereka memegang kuasa.

“Sedangkan program vaksinasi tidak lancar sejak ia bermula dan kerana itu sehingga hari ini imuniti kelompok masih belum dapat dicapai.

“Seterusnya cuba menyelamatkan kedudukan dengan propaganda kini semua pihak perlu bekerjasama melawan COVID-19 iaitu di saat kerajaan PN sudah tiada sokongan majoriti,” katanya.

Realitinya tegas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, terlalu banyak cadangan demi rakyat dan negara diketengahkan ramai pihak sebelum ini tidak dipedulikan.

“Betapa angkuh dan sombong.

“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang dibentuk bersama wakil parti bukan kerajaan pun sekadar wayang apabila keputusan membatalkan Ordinan Darurat tanpa diketahui jawatankuasa itu.

“Paling dikesali cubaan menunggang Perlembagaan Negara mengikut selera sendiri. Perkara 43 (3) Perlembagaan Negara wajib diperakui. Kerajaan tanpa majoriti kerajaan yang tidak sah,” ujarnya.

Seterusnya ulas Ahmad Zahid lagi, hakikatnya ‘victim’ sebenar dalam cerita ini adalah hampir 12,000 nyawa mereka yang tidak bersalah telah terkorban angkara kegagalan membendung COVID-19.

“Mereka yang ditekan kerana mempersoalkan dan cuba memperbaiki kegagalan itu adalah pihak yang sebenarnya ‘innocent’.

“Spin terbaru kerajaan PN semalam memang hebat. Mungkin ada kaitan dengan pelantikan penasihat baharu bertaraf menteri.

“Syabas namun sila cuba lagi! Rakyat masih ada masalah kepercayaan yang besar terhadap kerajaan PN pimpinan Presiden PPBM,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.