Adakah Kegagalan Yang Baik Apabila Ratusan Nyawa Rakyat Terkorban Setiap Hari?

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Baru-baru ini seorang menteri secara jelas mengaku kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Presiden PPBM telah gagal serta mendakwa ia adalah sebuah kegagalan yang baik iaitu gagal kerana belum berjaya dalam usaha.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas kenyataan tersebut dengan mempersoalkan adakah suatu kegagalan yang baik apabila ratusan nyawa rakyat tidak bersalah terkorban setiap hari.

“Lebih 1,000 dirawat di ICU (unit rawatan rapi) setiap hari dengan sebahagian memerlukan alat bantuan pernafasan atau ditidurkan adakah kegagalan yang baik?

“Jangkitan harian lebih 21,000 kes dengan kes aktif hampir 250,000 adakah patut dianggap cuma usaha belum berjaya?” soal Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam satu catatan di Facebook.

Ulas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk lagi, menteri PN juga mendakwa kegagalan itu lebih baik daripada berjaya kritik, tetapi gagal beri solusi kepada kerajaan.

“Bukankah terus menerus gagal selepas menerima kritikan bermakna ini sememangnya kerajaan yang gagal?

“Apakah kerajaan PN gagal urus pandemik kerana salah pihak lain tidak beri solusi? Jika begitu buat apa jadi kerajaan?” bidasnya.

Sehubungan itu tegas Ahmad Zahid, sebenarnya tiada istilah kegagalan yang baik kerana ribuan nyawa rakyat tidak bersalah terus terkorban.

“Dan selepas semakin jelas Presiden PPBM hilang majoriti sebagai Perdana Menteri baru merayu bergabung usaha. Sebelum ini bertalu-talu mempertahan kegagalan dan mengecam pihak yang mempersoalkan kegagalan.

“Maka jelas rakyat ada masalah kepercayaan terhadap kerajaan PN berhubung kejujurannya.
Adakah rayuan itu dibuat ikhlas untuk rakyat atau demi menyelamatkan kedudukan dan jawatan mereka?

“Seluruh rakyat Malaysia dari Sabah hingga Perlis dapat membuat kesimpulan,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.