Speaker Dewan Rakyat Sila Berkata Benar – Khaled

Speaker Dewan Rakyat Sila Berkata Benar
1. Telah menjadi makluman awam bahawa pada 9 Ogos 2021, Istana Negara telah mengutus surat kepada Speaker Dewan Rakyat meminta dimaklumkan bilangan terkini sokongan Ahli Dewan Rakyat ke atas Perdana Menteri. Surat tersebut turut memohon agar jawapan diberikan pada 10 Ogos 2021.
2. Permintaan Istana Negara bukan sahaja sesuatu di luar kelaziman, tetapi menunjukkan bahawa penjelasan Perdana Menteri bahawa beliau masih mempunyai majoriti adalah diragui oleh Istana.
3. Telah berlegar juga surat jawapan balas Speaker Dewan Rakyat bertarikh 9 Ogos 2021 yang memaklumkan bahawa bilangan mutakhir jumlah sokongan Ahli Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri telah berbaki hanya 100 orang.
4. Jika lah sahih surat Speaker Dewan Rakyat, maka telah diabsahkan oleh Speaker Dewan Rakyat bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan dan Perdana Menteri perlu segera meletakkan jawatan.
5. Dalam keadaan seperti ini, Perdana Menteri tidak lagi perlu menguji sokongan beliau di Dewan Rakyat. Beliau maklum dan tahu sokongan sebenar terhadap beliau. Justeru beliau mesti mematuhi segera Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu meletakkan jawatan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
6. Speaker Dewan Rakyat bertanggungjawab menjelaskan kedudukan surat yang telah tersebar luas tersebut. Jika ia tidak sahih, maka beliau harus segera menafikannya. Jika tidak beliau telah gagal menjalankan tugas dengan adil dan neutral serta sengaja bersekongkol dengan Perdana Menteri bagi mempertahankan keabsahannya yang telah hilang.
7. Saya juga merayu agar DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, selaku benteng kepercayaan dan keyakinan rakyat dalam mempertahankan amalan demokrasi negara kita, terus bertindak tegas dengan melaksanakan Perkara 43(4), jika benar Speaker Dewan Rakyat telah memberikan pengesahan bahawa Perdana Menteri telah hilang kelayakan untuk mengetuai kerajaan.
8. Semoga Yang di-Pertuan Agong terus teguh mempertahankan kedaulatan Perlembagaan dan melaksanakan segala peruntukannya dengan bijaksana dan berhikmah.
13 Ogos 2021
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO
@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.