Pidato Online PUMAS Dapat Kenalpasti Bakat Baharu Aset Parti

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan melihat banyak bakat baru yang dapat dikenalpasti menerusi Pidato Online Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) yang hari ini diadakan oleh Penerangan UMNO Perak.

Menerusi perkongsiannya di facebook, beliau berkata Perak adalah negeri pertama dalam siri berkenaan yang diadakan secara maya seluruh negara.

“Pagi ini bersama menonton peserta-peserta Pertandingan Pidato Online PUMAS peringkat negeri Perak iaitu negeri pertama dalam siri penganjuran.

Ada bakat yang telah dikenali mempertajam persembahan dalam pentas normal baharu (yakni online, di rumah/pejabat, tiada penonton fizikal).

“Ada bakat baru yang sebelum ini tidak dikenalpasti, Alhamdulillah sudah dan sedang dikenalpasti berdasarkan prestasi,” katanya.

Kata beliau lagi, apa sahaja yang sedang berlaku, tidak dikesampingkan persiapan ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) yang merupakan medan ujian sebenar kelak apabila keadaan negara bersedia.

“Terima kasih pihak Datuk Zolkafly Harun dan Penerangan UMNO Negeri Perak sebagai penyelia bersama kami di pusat. Wakil-wakil terbaik akan dibawa ke pertandingan peringkat kebangsaan kelak setelah selesai semua negeri,” tambahnya.

Ibu Pejabat Penerangan UMNO Malaysia akan mengadakan pertandingan Pidato bagi mencungkil bakat pemidato dari kalangan ahli UMNO.

Pertandingan ini akan diadakan secara online dengan fasa peringkat negeri bermula 8 Ogos sehingga 31 Ogos 2021 bagi mencungkil dan mengasah bakat pemidato dalam parti.

Pertandingan ini terbuka kepada ahli UMNO berusia 18 tahun ke atas, dengan dua wakil setiap bahagian UMNO dan diuruskan oleh Penerangan UMNO Negeri masing-masing. Tiga pemenang peringkat negeri akan bertanding di peringkat kebangsaan.  – UMNO online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.