MIC Jangan Mudah Lupa Sahabat Ketika Susah – Sharkar

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin hari ini terpanggil untuk mengulas kenyataan Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran yang mencadangkan agar jawatan Pengerusi BN diserahkan sementara kepada parti komponen lain selain UMNO, atas alasan bahawa MKT hanya berstatus “caretaker”.

Menurut beliau jika benar, sanggupkah MIC berbuat demikian dalam keadaan MIC hanya menang dua sahaja kerusi Parlimen daripada sembilan kerusi yang ditandingi oleh parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu?

“Pada PRU-14, MIC bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar, Kota Raja, Port Dickson, Segamat, Cameron Highlands, Sungai Siput dan Tapah. Parti itu hanya menang di kerusi Parlimen Tapah dan Cameron Highlands masing-masing menerusi Datuk Seri M. Saravanan dan Datuk C. Sivarraajh (Kerusi Cameron Highlands kini diwakili calon UMNO yang menang PRK di situ pada 26 Januari 2019).

“Kini MIC hanya ada satu wakil di peringkat Parlimen Tapah. Jika kita lihat pada PRU-14 lalu di Tapah, jumlah pengundi di situ adalah 47,128 orang dan daripadanya 46.24 peratus adalah Melayu, diikuti 25.83 peratus (kaum Cina) dan India 14.29 peratus,” katanya menerusi catatan di Facebook.

“Sharkar seterusnya menegaskan UMNO tidak pernah memperkecilkan peranan rakan-rakannya yang mewakili komuniti lain termasuklah MIC dan juga MCA.

“Adakah MIC lupa siapa membantu kemenangan parti itu dikerusi dimenanginya? Sejak dari dulu kita (BN) bertanding atas tiket biru yang asli dan kita berjuang bersama-sama.

“Biarpun kita difahamkan bahawa pengundi masyarakat India tidak begitu gemar dengan calon dipilih oleh MIC tetapi UMNO tetap mempertahankan dan berjuang bersama atas semangat setiakawan yang utuh.

“Lupakah MIC tentang semua itu? Jika diikutkan UMNO boleh sahaja untuk tidak kisah apa dilakukan MIC. Kita percaya pengundi pada ketika ini sudah pun berubah, pengundi kini melihat kepada calon yang sesuai dan rekod lampau parti bertanding,” ujarnya.

Ujar beliau lagi begitu juga MCA, keputusan PRU-14 pada 2018 menyaksikan prestasi paling buruk MCA apabila hanya menang satu kerusi Parlimen iaitu Ayer Hitam di Johor yang dimenangi Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dengan majoriti hanya 303 undi.

“Terdapat 66.72 peratus pengundi Melayu di kawasan itu. Di peringkat DUN, MCA hanya menang dua DUN iaitu Cheka dalam Parlimen Lipis di Pahang dan DUN Titi Tinggi dalam Parlimen Padang Besar di Perlis juga kawasan majoriti pengundi Melayu dengan jumlah 71.4 peratus dan 77.83 peratus.

“UMNO pada ketika ini sebenarnya berada dalam keadaan yang lebih selesa, UMNO bebas untuk memilih kerusi mana sama ada peringkat Parlimen atau DUN untuk ditandingi oleh calon UMNO pada PRU-15.

“Jadi, jika MIC, MCA atau PBDS mahu memilih gabungan baharu yang kononnya lebih baik, itu tiada masalah. Terpulang kepada MIC,MCA atau PBDS untuk menentukannya kerana UMNO tetap tidak akan rugi malah lebih selesa,” tambah beliau.

Berhubung MKT hanya berstatus “caretaker”, Sharkar menambah UMNO menerimanya kerana ia merupakan dinamika politik di negara ini dan UMNO masih lagi sebuah parti yang sah kerana ROS tidak lagi memberi sebarang isyarat mempertikai status UMNO sebagai parti politik sah.

Cuma persoalan di sini, tambah beliau lagi sanggupkah MIC dan MCA melupakan erti persahabatan dan saling menghormati yang terjalin dalam BN sejak ditubuhkan?

“Disebabkan apa yang berlaku pada UMNO ketika ini, MIC dan MCA sanggup bertindak sebaliknya dan lupa semangat kebersamaan dalam BN selama ini? Usah jadi seperti kacang lupakan kulit. Hargailah semangat setiakawan yang terjalin. Semangat ini merupakan prinsip parti sejak sekian lama,” ujarnya. – UMNO Online

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.