Ketua Bahagian PPBM Pekan Pula Isytihar keluar Parti, Sertai UMNO

BENTONG, 13 Ogos –  Ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pekan, Datuk Wan  Abu Bakar Wan Mohamed hari ini mengambil keputusan untuk keluar dari parti berkenaan yang disertainya sebelum ini dengan menyertai UMNO.

Borang kemasukan semula ke dalam UMNO diserahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, di sini, hari ini. Penyerahan tersebut turut disaksikan Setiausaha UMNO negeri, Datuk Ab Hamid Nazahar.

Datuk Wan Abu Bakar dalam kenyataan ringkasnya menjelaskan UMNO adalah sebuah parti besar dan wadah perjuangan orang Melayu yang mana pada satu ketika dahulu menentang Malayan Union serta menuntut kemerdekaan dan selepas merdeka bersama dengan rakan-rakan Barisan Nasional (BN) lain pula mentadbir dan membangunkan negara yang rakyat berbilang kaum.

“Peranan ini sangat besar kepada orang Melayu dan wadah ini sepatutnya kita tidak boleh abaikan. Hari ini saya isytiharkan letak jawatan ketua Bahagian Bersatu Pekan dan menyertai UMNO. Insya Allah kita bersama-sama untuk  memberikan semangat kepada UMNO Pahang yang telah membina UMNO ini dengan baik,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan syukur kerana hari ini mendapat perkhabaran baik untuk UMNO negeri berkenaan khususnya dan UMNO secara amnya.

“Alhamdulillah syukur kerana hari ini kita sekali lagi mendapat satu perkhabaran baik untuk UMNO Pahang khususnya dan UMNO secara umumnya apabila kembalinya Datuk Wan Abu Bakar kepangkuan UMNO. Sebelum ini beliau adalah ketua Bersatu Pekan malahan sebelum ini Tan Sri Tengku Azlan juga telah pun melepaskan jawatan Ketua Bersatu Temerloh.

“Saya percaya dan yakin ini suntikan semangat kepada kita selain turut memberikan inspirasi dan diharap dengan kembalinya kedua-dua tokoh yang ada pengalaman kembali kepangkuan UMNO boleh menguatkan parti.

“Macam dapat suntikan ‘vaksinlah’…kita serulah lagi kepada mereka diluar sana kembali kepada parti. Boleh tengok rekod sejak merdeka kita sentiasa bersama rakyat. Dalam keadaan pandemik COVID-19 yang  tampil ke depan kita boleh lihat yang pakai baju UMNO. Kita memang mahu bersama rakyat dan itulah prinsip perjuangan UMNO daripada dulu higga sekarang,” ujarnya.-

Beberapa hari lalu Tan Sri Tengku Azlan Almarhum Sultan Abu Bakar mengumum peletakan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Temerloh serta merta dan kembali ke pangkuan UMNO.

Dalam sidang medianya, beliau turut menyerahkan borang permohonannya untuk menyertai UMNO melalui Bahagian Paya Besar kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, beliau membuat keputusan untuk memilih kembali ke pangkuan UMNO kerana yakin dan percaya UMNO merupakan sebuah parti yang menjadi tunjang kepada perjuangan orang Melayu dan Islam.

“Saya mengambil kesempatan pada petang untuk menyerahkan borang keahlian saya kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang dan saya memilih untuk menjadi ahli UMNO Bahagian Paya Besar,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.