Harap MIC Tidak Mendahului Keputusan – Shahril

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mengharapkan agar MIC yang merupakan rakan komponen Barisan Nasional (BN) tidak mendahului keputusan berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh parti itu mengenai BN semalam.

Menurut beliau MIC dan UMNO rakan kongsi yang telah lama bersahabat dalam BN dan apa sahaja pasang surut politik parti masing-masing, jenama biru BN yang telah mewarnai negara berdekad lamanya wajar dipertahan dan diperkukuh.

“Menyentuh permohonan Presiden MIC hari ini agar Mesyuarat Dewan Tertinggi BN segera diadakan, itu kita serahkan kepada pihak pentadbiran BN dan Presiden setiap parti untuk uruskan.

“Namun, saya tertarik dengan kenyataan beliau yang mencadangkan agar jawatan Pengerusi BN diserahkan sementara kepada parti komponen lain selain UMNO, atas alasan bahawa MKT hanya berstatus “caretaker”.

“Pertama, ROS sendiri mengakui bahawa mereka masih mengkaji dokumentasi penuh yang diserahkan oleh SUA UMNO beberapa hari lepas. Maka, sebarang kenyataan bahawa jawatan-jawatan dalam UMNO termasuk Presiden ialah berstatus “caretaker” tidak lagi dimuktamadkan,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Keduanya jelas Shahril lagi pihak UMNO masih mempunyai hak untuk memutuskan tindakan selanjutnya andaikata ROS masih kekal dengan pandangan mereka setelah habis mengkaji segala dokumentasi yang diserahkan oleh SUA UMNO iaitu dokumentasi menyokong pendirian pengurusan parti bahawa keputusan menangguhkan pemilihan ialah sah dan dibuat sebelum tamat tempoh 30 Jun 2021.

“Ketiga, dalam sebarang kenyataan mereka, ROS tidak lagi memberi sebarang isyarat mempertikai status UMNO sebagai parti politik sah. Jadi ini bukanlah sepertimana kes 1988 jika itu hendak dijadikan rujukan,” ujarnya.

Keempat ujar Shahril lagi cadangan-cadangan sensasi seperti mengubah Pengerusi BN jikapun hendak dibentang, eloklah dalam mesyuarat tertutup. Agak janggal jika MIC menggesa mesyuarat tetapi sebelum mesyuarat berlaku pun sudah menghebahkan cadangan. Ini dikhuaturi hanya menambah kepada kekeruhan.

“Seperti saya sebut, MIC dan UMNO bersahabat dan saling menghormati. Apa sahaja pasang surut politik parti masing-masing, jenama biru BN yang telah mewarnai negara berdekad lamanya wajar dipertahan dan diperkukuh.

“Negara Malaysia ialah negara majmuk dan UMNO tidak akan memperkecil peranan rakan-rakannya yang mewakili komuniti lain, biarpun di era UMNO memenangi 109 kerusi pada tahun 2004. *Kita bertanding atas tiket biru yang asli, menang kalah pun biarlah atas tiket biru yang sama,” tambahnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.