Ahmad Zahid Ingatkan Elakkan ‘Boiling Frog Syndrome’

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Dalam hidup ini sebolehnya kita mengelak daripada terjebak dalam “boiling frog syndrome”. Sindrom berkait katak ini merupakan satu metafora yang digunakan untuk menggambarkan sebuah kegagalan.

Kegagalan bertindak terhadap situasi bermasalah sehingga meningkatkan kedudukan kepada tahap bencana. Analoginya apabila katak melompat ke dalam air mendidih ia tidak cuba menyelamatkan keadaan. Katak sebaliknya akan cuba menyesuaikan diri dengan suhu air yang mendidih tersebut, demikian coretan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi Facebooknya, beliau seterusnya menjelaskan apabila tidak lagi mampu menyesuaikan diri, sudah terlambat kerana katak tidak lagi mampu melompat dan katak telah kehilangan sumber tenaga lalu mati begitu sahaja dalam air yang mendidih.

“Ini satu metafora yang cukup sadis yang membangkitkan persoalan cukup mendalam tentang kegagalan. Sebagai contoh kegagalan PN mengurus pandemik COVID-19 sehingga jangkitan harian cecah 21,000 kes. Kegagalan yang nyata sehingga menyebabkan hampir 12,000 nyawa rakyat tidak bersalah telah terkorban. Mungkin ini juga “boiling frog syndrome”. Kurang bersungguh meski menyedari wabak COVID-19 yang amat berbahaya sedang berleluasa.

“Kilang-kilang bukan ‘essential’ tetap dibenar beroperasi dan sebilangan rakyat masih diminta keluar bekerja. Ianya bukan sesuatu perkara yang serius untuk ditangani kata mereka. Akhirnya lebih 1.3 juta kes jangkitan telah direkodkan dengan lebih 233,000 kes aktif di seluruh negara. Ini juga bukan angka yang gagal bagi mereka untuk mempertahankannya,” katanya.

Katanya lagi akhirnya masing-masing akan menyaksikan tajuk utama di dada-dada akhbar, rakyat pula dipersalahkan kerana tidak menjaga SOP dan sebagainya.

“Begitu juga dengan katak politik mempertahankan kerajaan gagal walau menyedari rakyat sedang menderita. Katak politik menyedari hakikat itu, tetapi demi jawatan dan kedudukan cuba bertahan dalam air yang mendidih,” ujarnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.