UMNO Parti Milik Rakyat, Perjuangkan Kewajipan Tanpa Ragu-ragu – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO sebagai parti milik rakyat perlu terus memperjuangkan kewajipannya tanpa ragu-ragu kerana keutamaan parti adalah demi masyarakat Malaysia dan tanah airnya.

Tegasnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), rakyat perlu dilindungi dan negara perlu diselamatkan sebelum terlambat.

“Kepada yang ramai setia kepada perjuangan terima kasih. Saya tahu ahli UMNO kecewa melihat sikap beberapa pemimpin parti mempertahankan Presiden PPBM dan kerajaan gagal.

“Namun itu tidak sepatutnya menjadi kekecewaan yang nyata. Mungkin ia asbab untuk masa depan UMNO yang gemilang.

“Bagi mengertikan UMNO tentang intan dan kaca, yang mana ikhlas kepada rakyat dan parti atau yang mana sebaliknya. Tidak perlu dicari dan digali kerana ia terdedah sendiri. Maka kita semua bersyukur atas kebenaran yang terzahir,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Bagaimanapun ujar Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, kebelakangan ini banyak berita membabitkan Presiden UMNO ditulis berdasarkan dakwaan ‘sumber UMNO’.

“Kita wajar berhati-hati dalam menilai berita yang menggunakan maklumat diberi oleh individu ‘anonymous’.”

Soalnya, apakah tujuannya, motifnya, agendanya, kejujuran atau muslihatnya?

“Berkepentingan tertentu, bias atau mahu mengelirukan?

“Semua sedia maklum UMNO sedang berdepan tindakan hebat oleh sang penguasa dan pengikut mereka.

“Gara-gara UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan gagal pimpinan Presiden PPBM, maka Presiden UMNO jadi sasaran propaganda dengan menggunakan apa platform sekalipun,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.