Pertimbang Semula Pembukaan Sekolah – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 12 Ogos- Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan berkata keputusan Kementerian Pendidikan untuk membuka semula sekolah pada 1 September akan datang harus dipertimbangkan semula.

Katanya, terlalu banyak bilangan kes COVID-19 dalam negara dan berada pada tahap yang tertinggi pernah direkodkan.

Jelasnya, negeri seperti Selangor terus merekodkan jumlah kes yang sangat tinggi, melebihi 6,000 kes sehari secara konsisten dan manakala, di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kelantan jumlah kes harian yang dicatat juga dilihat semakin meningkat dengan mendadak.

“Membenarkan anak-anak kita kembali ke sekolah dalam keadaan sebegini bukan sahaja sangat berisiko, tetapi adalah tindakan culas dan tidak bertanggungjawab.

“Apa lagi bila imunisasi ratusan ribu guru masih lagi belum menyeluruh. Kerajaan juga belum lagi melaksanakan immunisasi kepada remaja berumur 12 ke 18 tahun.

“Jika keputusan pembukaan sekolah secara menyeluruh dan secara serentak ini dilaksanakan juga, maka ia secara langsung akan meletakkan sistem kesihatan kita pada tahap kelumpuhan yang serius,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook.

Justeru kata Mohamad lagi, berhentilah dari membuat segala keputusan yang akhirnya mengancam kesihatan dan keselamatan pelajar, guru-guru dan keluarga serta masyarakat.

“Walau bagaimanapun, bagi kawasan dan negeri yang berisiko rendah dan mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi, pembukaan sekolah secara berperingkat boleh dipertimbangkan seperti di Perlis, Sarawak serta Labuan.

“Bagi negeri lain, pembelajaran secara maya mesti diteruskan dan ditambah nilai buat waktu ini.

“Keputusan Kementerian mesti disesuaikan dengan data dan kedudukan jangkitan serta vaksinasi. Pendekatan ‘one size fits all’ dalam keadaan yang sangat luar biasa seperti sekarang mesti dihentikan,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.