Kelonggaran Langkah Populis Kerajaan… Kurang Ambil Kira Aspek Penting – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kebimbangan beliau dengan pengumuman kerajaan berkenaan kelonggaran kepada penerima dua dos vaksin di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuat kuasa semalam.

Jelas beliau, ini kerana penerima dua dos dikatakan masih boleh menjangkiti dengan kadar kebolehjangkitan kes positif sebanyak 50 peratus.

“Perdana Menteri Perikatan Nasional mengaku kelonggaran diberi kepada penerima dua dos vaksin pasti mengundang risiko kepada peningkatan kes COVID-19, namun ia tetap diteruskan.

“Ia kerana penerima vaksin lengkap dikatakan dapat mengukuhkan sistem pertahanan badan dan melindungi diri daripada gejala jangkitan yang teruk,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ulas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi perkara yang lebih dikhuatirkan apabila mereka yang belum divaksin berisiko mendapat jangkitan daripada penerima dua dos yang tidak menunjukkan gejala ketika melancong dan sebagainya.

“Seperti dimaklumkan beberapa hari lalu cuma 65.6 peratus individu dewasa telah terima dos pertama vaksin dan hanya 35.3 peratus individu dewasa telah lengkap dua dos suntikan vaksin.

“Perdana Menteri beri jaminan agensi bertanggungjawab akan mempergiatkan aktiviti pemantauan ke atas kelonggaran diberikan.

“Bagaimanapun tidak dinyatakan secara jelas bagaimana mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan itu akan dipergiatkan,” katanya.

Tambahnya, jangkitan wabak ini juga tetap bertambah di sebalik aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan semasa Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, darurat dan total lockdown.

Justeru katanya kerajaan wajar memperincikan mekanisme penguatkuasaan dan pemantauan yang rapi lagi jitu untuk melindungi mereka yang diberi kelonggaran dan orang di sekeliling.

“Kita juga khuatir tentang kelonggaran diberi kepada pengembara warganegara dan bukan warganegara dari luar negara yang telah lengkap dos vaksin menjalani kuarantin di rumah.

“Kerajaan sepatutnya berasa bimbang mengenai kemungkinan ancaman varian lain seperti Delta Plus, Lambda atau varian lain yang telah dikesan di negara lain.

“Sewajarnya Malaysia tidak berkompromi dalam perkara ini kerana varian sedia ada sudah begitu banyak mengorbankan nyawa rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi meluahkan kebimbangan beliau bahawa pengumuman kelonggaran itu berkemungkinan satu lagi pendekatan populis yang terdesak maka ianya terkurang mengambil kira aspek terpenting.

“Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga menggesa kerajaan menangguhkan kelonggaran itu sehingga jumlah kes positif berkurangan dengan ketara.

“Kata MMA sebarang keputusan untuk memberi kelonggaran itu perlu disokong bukti saintifik,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.