Ahmad Zahid Seru Ahli Parlimen UMNO Insafi Tanggungjawab Diberikan Rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati ahli Parlimen UMNO yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menginsafi kewajipan dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Jelas beliau wakil rakyat bermaksud wakil kepada rakyat dan bukan wakil kepada mereka yang gagal menjaga rakyat.

“Ingatilah juga kewajipan kita sebagai wakil rakyat dari UMNO iaitu sentiasa memihak kepada rakyat, mengutamakan rakyat dan mementingkan rakyat.

“Bukan memihak kepada mereka yang mahu mengekalkan penguasaan ke atas rakyat dan negara walau jelas telah gagal, membelakangi keluhuran Perlembagaan serta Institusi Diraja.

“Saya percaya kini adalah masanya untuk kita membuktikan kepada rakyat bahawa kita sebagai wakil rakyat dari UMNO sanggup berpayah demi berdiri bersama rakyat. Bukan berdiri bersama kegagalan yang menyaksikan lebih 10,000 rakyat telah kehilangan nyawa dan lebih 19,000 kes jangkitan wabak dilaporkan saban hari,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi kegagalan pentadbiran kerajaan pada ketika ini menyebabkan Malaysia dianggap antara negara yang gagal membendung penularan pandemik dalam dunia.

Beliau juga turut menuntut kepada kesemua kepimpinan untuk memahami pesanan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkenaan hubungan di antara Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia dan ahli Parlimen UMNO yang harus diharmonikan demi kepentingan parti dan negara.

“Sebagai Ahli Parlimen UMNO kita sewajarnya lebih terkesan dengan kegagalan itu kerana rakyat yang menderita termasuk ahli-ahli UMNO sendiri.

“Juga pengundi-pengundi UMNO di kawasan kita. Kita tahu begitu ramai rakyat termasuk ahli dan pengundi UMNO tidak mampu bekerja, menjadi miskin dan muflis,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata sudah tiba masanya ahli Parlimen UMNO untuk membuktikan perjuangan yang dilakukan selama ini adalah semata-mata kepada rakyat.

“Membuktikan perkara itu adalah mudah iaitu meninggalkan kerajaan PN yang gagal dan kembali kepada landasan perjuangan UMNO yang sebenar.

“Saya mendoakan semua yang berkenaan melepasi ujian jawatan, kedudukan dan pesona yang sedang mereka lalui ketika ini,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.