Salam Maal Hijrah 1443, Jadikan Setiap Hari Masa Berhijrah Ke Arah Kebaikan – Presiden UMNO

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Hari ini adalah Maal Hijrah 2021/1443 yang mana ia tidak dapat disambut dalam suasana meriah sejak tahun lalu lantaran negara masih lagi berperang dengan pandemik COVID-19.

Dalam hal ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan Salam Maal Hijrah dengan mengajak semua agar menjadikan setiap hari masa untuk berhijrah ke arah kebaikan dan keredhaan Allah.

Ucapan yang sama dizahirkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan harapan semoga kesungguhan dalam menghayati dan meneladani hikmah di sebalik peristiwa hijrah ini akan menjadikan umat Islam diberkati oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan yang sama juga menyeru semua untuk meneladani hikmah di sebaliknya.

“Salam Maal Hijrah buat seluruh umat Islam. Semoga kesungguhan dan ketakwaan kita dalam menghayati dan meneladani hikmah di sebalik peristiwa Hijrah akan menjadikan umat Islam lebih cemerlang dan diberkati Allah SWT di dunia dan di akhirat.

“Marilah kita sentiasa berdoa agar tanah air kita berada di dalam lindungan dan keberkatan Allah SWT,” katanya menerusi ucapan dalam laman facebooknya.

Demikian juga kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mhdzir Khalid yang mendoakan semoga semua beroleh keberkatan dan rahmat Allah SWT di sepanjang tahun baharu ini.

Beliau menerusi ucapan dalam laman facebooknya turut menyertakan sabda Rasulullah SAW dari Riwayat Al-Bukhary, Abu Daud, Al Nasaie yang bermaksud, “Orang yang benar-benar hijrah adalah orang yang berhijrah meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah (daripada melakukannya).”

Bagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin pula, beliau berkata, hijrah itu adalah sebuah perjuangan bagi membuka helaian lembaran baru pada tahun baru Islam ini.

“Hijrah menuju ke arah yang lebih baik dengan memperingati dan menghayati penghijrahan Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

“Mesej-mesej hijrah seperti transformasi ke arah yang lebih luhur dan kepentingan kepimpinan yang jitu ini wajar diterapkan dalam mendepani cabaran wabak COVID-19 untuk memulihkan negara kita.

“Ayuh, bersama-sama kita menuju hijrah minda, hijrah semangat, hijrah hati dalam mengharungi cabaran-cabaran hidup. Selamat Menyambut Awal Muharram 1443 Hijrah,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.