Tinggalkan PPBM, Penyertaan Tg Azlan Dalam UMNO Jadi Suntikan Semangat – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menganggap kemasukan semula Tan Sri Tengku Azlan Almarhum Sultan Abu Bakar ke pangkuan UMNO ibarat suntikan semangat baharu kepada parti.

Katanya, ia seolah-olah suntikan vaksin dos kedua COVlD-19 kepada pemimpin dan ahli-ahli parti.

“Tahniah dan menjunjung kasih tidak terhingga atas kepulangan semula Yang Amat Mulia Tengku Tan Sri Tengku Azlan Almarhum Sultan Abu Bakar ke pangkuan UMNO.

“Kemasukan semula ini sangat kena pada masa dan tempatnya iaitu ketika UMNO dengan lebih tiga juta anggota seluruh negara, diduga cabaran besar berkaitan ketidaksama pandangan dan haluan dalam kalangan segelintir pemimpin berkaitan sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN).”

Katanya, peristiwa bermakna pada hari ini berlaku hanya selepas tidak lebih tiga tahun Tengku Azlan meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), pada tahun 2018.

“Sehubungan itu, patik menyanjung tinggi serta mengalu-alukan kemasukan semula Yang Amat Mulia Tengku Tan Sri ke dalam UMNO. Bak kata pepatah Melayu, ‘Kecil tapak tangan, nyiru patik tadahkan’,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata demikian dalam sidang media selepas menerima borang penyertaan Tengku Azlan sebagai ahli UMNO yang turut disaksikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin.

“Semoga dengan ini juga, UMNO terutamanya UMNO Pahang, dapat terus digerakkan dengan program-program mengutamakan kebajikan dan menangani kemaslahatan rakyat jelata.

“Hanya dengan ini sahajalah, UMNO akan terus kekal relevan di mata dan hati rakyat jelata sejak dahulu, kini dan selama-lamanya, insya-Allah,” katanya lagi.

Terdahulu, Tengku Azlan mengumum peletakan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Temerloh untuk memilih kembali ke pangkuan UMNO kerana yakin dan percaya UMNO merupakan sebuah parti yang menjadi tunjang kepada perjuangan orang Melayu dan Islam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.