MKT Jalankan Tanggungjawab Dengan Telus, Keputusan Hasil Suara Akar Umbi – Ahmad Said

KEMAMAN, 9 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Kemaman Datuk Seri Ahmad Said berkata keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) adalah bertetapan dengan usul yang telah dibawa bermula dari peringkat UMNO Cawangan, dibawa ke peringkat UMNO Bahagian dan seterusnya disuarakan di peringkat Pusat di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.

Jelas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu itu, ia menunjukkan MKT UMNO telah mendengar dan menjalankan tanggungjawab dengan telus.

“UMNO Bahagian Kemaman juga, menjunjung titah dan berpihak tanpa sebarang kegusaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perlembagaan parti yang telah termaktub dibawah Fasa 3.3 (Asal Tujuan Parti) – Mendukung Dan Mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri- Negeri Dan Raja Berpelembagaan.

“Dengan itu, pihak kami berpendapat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong wajib dipertahankan dari sebarang salah laku yang telah dilakukan, dengan menghina kedaulatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Mereka wajib diambil tindakan sekeras-kerasnya kepada yang ingin dan telah memperlekehkan serta membelakangi keputusan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Ulas Ahmad Said, merujuk kepada keputusan mesyuarat MKT yang lalu, UMNO Bahagian Kemaman menerusi Mesyuarat Khas UMNO Bahagian Kemaman yang diadakan pada semalam secara maya, telah sebulat suara dan akur menyokong penuh keputusan yang telah dibuat oleh Presiden dan MKT tersebut dengan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Justeru katanya, UMNO Bahagian Kemaman menyeru agar pemimpin dan seluruh ahli UMNO di semua peringkat, untuk bersama-sama memperjuangkan parti UMNO sepertimana yang telah diputuskan di dalam Perhimpunan Agung UMNO dan mesyuarat MKT.

“Ini bagi menstabilkan keadaan politik semasa, dan dalam masa yang sama dapat mengembalikan ekonomi yang jelas telah rosak teruk akibat kelemahan pentadbiran Kerajaan PN, dalam menangani isu COVID-19 serta pelbagai isu yang melanda negara,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu lagi. – UMNO ONLINE

GDE Error: Error retrieving file - if necessary turn off error checking (404:Not Found)