Perjuangan Politik Sebenar Adalah Demi Rakyat Dan Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyorot kembali penjelasan lengkap oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung penangguhan pemilihan parti.

Menurut beliau perkara tersebut telah diperjelaskan dengan lengkap bermula daripada perbincangan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sehingga kepada respons oleh KKM, ROS dan MKN berhubung penangguhannya.

“Setiausaha Agung UMNO telah memberi penjelasan lengkap mengenai perkara berkaitan pemilihan UMNO yang dibangkitkan ROS.Bermula daripada perbincangan Mesyuarat MKT UMNO sehingga kepada respons oleh KKM, ROS dan MKN berhubung penangguhannya.

“Inti pati surat oleh KKM dan MKN yang mencadangkan agar mesyuarat dan pemilihan UMNO dibuat secara dalam talian turut didedahkan. JIka tidak boleh dibuat secara online, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh bila pandemik COVID-19 terkawal,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata Ahmad Zahid lagi, Datuk Seri Ahmad Maslan turut menerangkan tentang UMNO yang akhirnya memutuskan pemilihan ditangguhkan atas faktor UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara dalam talian di semua peringkat.

“Kekhuatiran berlaku kesilapan teknikal yang tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar suatu masalah yang benar.Penangguhan pemilihan UMNO tidak boleh disamakan dengan penangguhan sidang Parlimen kerana ia melibatkan 66,287 mesyuarat.

“Melibatkan seramai 3.3 juta ahli UMNO iaitu cawangan (21,135 mesyuarat), Wanita cawangan (21,058 mesyuarat), Pemuda cawangan (15,496 mesyuarat), Puteri cawangan (8,598 mesyuarat), Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Manakala sidang Parlimen masih boleh diteruskan dengan SOP ketat yang mudah untuk dipantau serta dipastikan pematuhannya. Maka kita bimbang jika perkembangan muktahir itu cuma satu tindakan terdesak kerajaan PN cuba menekan UMNO dan melemahkan UMNO.

“InsyaAllah UMNO tidak berdiam diri. UMNO tahu apa perlu dilakukan. Namun bagaimana dengan Ahli Parlimen UMNO yang masih menyokong kerajaan PN?

“Apakah mereka yang mempertahankan kerajaan PN pimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merestui tindakan kerajaan PN ke atas parti mereka sendiri? Saya seru kepada mereka bukalah mata hati dan insafilah perjuangan politik yang sebenar demi rakyat dan negara,” ujarnya. – UMNO Oine

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.