Peletakan Jawatan Sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kerana telah memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah.

“Namun selaras keputusan yang telah diputuskan di dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos, saya, sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut patuh dan setia atas ketetapan parti ini.

“Maka, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah dengan serta merta,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Abdul Rahman, UMNO adalah sebuah parti perjuangan yang mendukung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai Raja Berpelembagaan seperti yang termaktub di dalam asas dan tujuan UMNO mengikut Fasal 3.

“Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan Universiti Malaysia Sabah kerana telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan saya di Universiti tersebut.

“Semoga kita semua berada di dalam lindungan Allah S.W.T demi agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.