Tunai Kehendak Parti Adalah Keutamaan – Noh Omar

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – “Tanpa parti siapalah saya,” demikian luahan Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar yang tetap akur dengan keputusan yang ditetapkan parti.

Jelas Noh lagi, sebagai pemimpin yang berjiwa besar beliau juga sedar bahawa parti serta sokongan daripada ahli yang menjadi pendokong kepada beliau selama ini.

“Saya akur dan akan bersama dengan parti untuk tunai kehendak parti kerana saya sedar bahawa saya menjadi ahli Parlimen bukan kerana diri saya sahaja.

“Tetapi adalah kerana lambang Barisan Nasional, jentera parti saya yang bekerja untuk saya maka apa pun saya kena setuju kepada keputusan parti,” katanya menerusi satu sidang media yang diadakan secara maya sebentar tadi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor itu juga menolak dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dirinya mengambil keputusan yang bersifat flip-flop.

“Saya punya pendirian sebagai pemimpin UMNO yang benar saya kata benar kalau salah saya kata salah.

“Inilah pendirian saya, di mana sekiranya ada mesyuarat atau perbincangan saya akan bersuara dan berani untuk bercakap secara berhadapan.

“Saya bukan orang yang cakap depan lain dan dibelakang lain,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.