Pendirian Noraini Berprinsip, Tahniah Memilih Bersama Parti – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang mengambil pendirian berprinsip meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Jelas beliau, keputusan tersebut selari dengan ketetapan yang dibuat oleh UMNO untuk menarik sokongan ke atas Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional yang telah gagal menguruskan krisis ekonomi dan ancaman pandemik COVID-19 dengan baik.

“Saya harap tindakan dan keputusan berprinsip seperti ini akan menjadi suri teladan dan ikutan yang baik kepada semua Ahli Parlimen UMNO yang masih mendukung PN.

“Adalah tidak wajar untuk terus menyokong kepimpinan dan kerajaan yang sudah kehilangan kepercayaan dan rasa hormat dari rakyat serta ketiadaan sokongan majoriti.

“Tahniah dan terima kasih kerana percaya dan memilih untuk bersama dengan parti serta tidak mengutamakan jawatan atau kedudukan dalam sebuah kerajaan yang dilihat gagal oleh rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Noraini yang Ketua Wanita UMNO Malaysia menerusi kenyataan berkata beliau akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pemegang taruh berkaitan kementerian yang banyak membantu beliau melaksanakan
tugas.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.