Noraini Letak Jawatan, Patuh Keputusan Parti

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meletakkan jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Noraini yang merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong berkata beliau akur dengan keputusan parti dan meletak jawatan berkuatkuasa serta-merta.

“Keputusan parti akan dilaksanakan ketika Parlimen bersidang. Saya percaya, kita telah berusaha melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara mendepani pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kehidupan manusia di seluruh dunia.

“Usaha ini akan saya teruskan walaupun tidak lagi menjadi menteri Kabinet Persekutuan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama warga Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pemegang taruh berkaitan kementerian yang banyak membantu beliau melaksanakan
tugas.

“Semoga Allah merahmati negara kita dan melindungi kita semua,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.