Misi Kemanusiaan UMNO Berjaya Laksana 65 Peratus, Pulang Sementara Menanti Memasuki Gaza


KAHERAH, 21 Julai – Misi Bantuan Kemanusiaan Untuk Palestin (HM4P) oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) telah berjaya melaksanakan 65 peratus daripada keseluruhan misi yang dirancang dengan kejayaan terbesar adalah menyalurkan bantuan kepada Masjid Al-Aqsa.

Pengerusi BKUM merangkap ketua misi terbabit, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memaklumkan bahawa untuk melaksanakan misi seterusnya iaitu memasuki Gaza dan menyampaikan sendiri bantuan kepada masyarakat Palestin di sana ditangguhkan berikutan keadaan keselamatan.

Menerusi video konferensi beliau bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, anggota HM4P disaran untuk menangguhkan misi dan pulang dahulu ke Malaysia berikutan keadaan di Gaza yang masih tidak menentu.

Kata Abdul Azeez, nasihat daripada Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO adalah selari dengan syor yang disuarakan oleh pihak kedutaan di Mesir.

“Tujuan dalam misi ini telah berjaya 65 peratus yang antaranya adalah untuk membaikpulih dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan Masjid Al-Aqsa selepas berlaku kerosakan akibat daripada serangan zionis Israel.

“Mereka telah hantar video dari Masjid Al-Aqsa yang sudah kedengaran laungan azan, bilik air dan tempat wuduk telah dibaiki dan klinik yang diruntuhkan juga telah dibina semula,” katanya.

Sehubungan itu, anggota misi akan kembali ke tanah air sementara menantikan peluang memasuki Gaza dengan semua yang terlibat sentiasa mematuhi peraturan serta SOP yang ditetapkan.

“Pihak Kedutaan senada dengan YAB Datuk Seri Ismail Sabri untuk tangguhkan dahulu misi memasuki Gaza dan mereka akan terus berbincang serta akan berikan nota diplomatik untuk makluman tarikhnya.

“Kita kekalkan 17 nama dan mereka akan hantar melalui emel ke pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri maka apabila dapat nota diplomatik ini mereka akan beri masa dalam tiga atau empat hari untuk berangkat datang terus ke Gaza tanpa perlu tingga di Kaherah atau Mesir.

“Untuk itu, kami akan ikut nasihat serta saranan dan insyaAllah kami akan pulang dengan penerbangan pada 22 Julai ini,” katanya.

Turut bersama beliau ialah Timbalan Pengerusi BKUM merangkap Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Ketua UMNO Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar selain anggota misi HM4P.

Dilaporkan, anggota HM4P yang meninggalkan tanahair pada 19 Jun lalu telah berjaya menyalurkan sumbangan USD200,000 (RM828,000) kepada Tabung Al-Aqsa di bawah Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama yang diterima oleh menterinya, Dr Mohammad Al-Khalaileh bagi membaikpulih, menambahbaik dan memenuhi keperluan berkaitan pengurusan dan penyelenggaraan masjid terbabit.

Kemudian, HM4P telah menyampaikan sumbangan 2,000 pek makanan yang mampu bertahan sehingga sebulan bagi satu-satu keluarga besar kepada masyarakat Palestin di kem-kem pelarian yang antaranya ialah Kem Pelarian Palestin di Al-Baqa’a, al-Rusaifah, Hitthin dan Wahadad serta Kem Gaza di Jerash dan Talibiah.

Sementara di Kaherah, HM4P telah menyampaikan bantuan kemanusiaan, termasuk pengagihan 10 kerusi roda kepada wakil Hospital Palestin yang dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir di samping menyantuni para pelajar Malaysia di sini.

Misi HM4P yang asalnya dijadualkan berlangsung selama dua bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada warga Palestin selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Tebing Barat dan warga Palestin terjejas di Gaza yang diserang tentera Israel pada Mei lalu.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah konflik Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu menyaksikan kemusnahan harta benda ratusan juta dolar selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin, termasuk 66 kanak-kanak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.