UMNO Pahang Sokong Keputusan MKT, Patuhi Pemimpin… Seru Terus Fokus Tangani COVID-19

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Pendirian Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Pahang adalah selari dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai 2021, jelas Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tegasnya, ia juga selari dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 akhir Mac lepas, yang memberi mandat kepada Presiden dan MKT untuk menentukan tarikh tepat penarikan diri daripada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

“Sepertimana semua tahu, PAU merupakan badan tertinggi parti yang telahpun membuat keputusan sedemikian maka perlulah dipatuhi oleh setiap pemimpin/ahli parti dan Pahang tidak terkecuali,” katanya yang juga Menteri Besar Pahang dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengajak semua kepimpinan UMNO untuk menumpukan usaha menangani COVID-19.

“Sama-samalah kita kepemimpinan UMNO pelbagai peringkat supaya terus-menerus tumpukan usaha membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak pandemik COVID-19 serta langkah-langkah membendungnya.

“Tumpuan juga perlu dijuruskan kepada usaha meningkatkan lagi jumlah rakyat dan meminta mereka mendaftarkan segera dalam aplikasi MySejahtera,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.