376,909 Dos Suntikan Vaksin Diberikan Semalam, Tertinggi Dalam Sehari

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Sebanyak 376,909 dos suntikan vaksin COVID-19 diberikan semalam, menjadikan ia jumlah tertinggi diberi dalam sehari setakat ini, berbanding 375,842 pada Rabu lepas.

Menerusi hantaran di Twitter, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata daripada jumlah 376,909 dos itu, sebanyak 153,982 adalah dos kedua.

Beliau berkata lima negeri tertinggi yang mencatatkan pemberian dos pertama dan kedua semalam ialah Selangor dengan 88,376 orang, disusuli Sarawak (70,447), Kuala Lumpur (52,515), Johor (23,589) dan Negeri Sembilan (22,686).

Dr Adham berkata jumlah pemberian vaksin COVID-19 setakat semalam adalah 10,413,270 dos, dengan 3,190,789 daripadanya adalah dos kedua. – BERNAMA