Sabah Tuan Rumah Sambutan Hari Malaysia 2021

KOTA KINABALU, 7 Julai – Sabah dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2021 pada 16 Sept depan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Penganjur Hari Malaysia peringkat Sabah berkata sambutan itu akan diadakan secara sederhana dan tertutup dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Katanya perkara itu telah dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Malaysia secara dalam talian yang dipengerusikan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, semalam.

“Kami berterima kasih dan menghargai keputusan kerajaan Persekutuan atas kepercayaan dan penghormatan diberikan, ia akan diadakan dengan pematuhan ketat SOP termasuk mengehadkan kehadiran sekitar 500 orang bergantung kepada situasi semasa COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bung Moktar berkata beberapa siri mesyuarat jawatankuasa pelaksana telah diadakan sebelum ini bersama beberapa jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan kelancaran perjalanan program itu nanti.

Selaras dengan tema sambutan kali ini iaitu Malaysia Prihatin, Bung Moktar berkata, satu persembahan khas daripada Artis Lembaga Kebudayaan Sabah akan dipersembahkan bagi mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk memerangi COVID-19.

“Kita berharap melalui sambutan Hari Malaysia bukan sahaja menyuntik semangat patriotik rakyat khususnya dalam kalangan genersi muda, dalam pembentukan negara bersatu padu dan harmoni, bahkan kita mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama bersoladariti memerangi pandemik COVID-19,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.