Perak Sasar Beralih Ke Fasa Tiga PICK Minggu Depan – MB

IPOH, 7 Julai – Perak mensasarkan untuk beralih ke fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menjelang awal minggu depan dengan memanfaatkan sepenuhnya 688,000 bekalan baharu vaksin yang dijangka diterima bulan ini.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata sasaran itu antara lain menetapkan supaya lebih ramai rakyat berusia 18 tahun ke atas di negeri itu menerima suntikan vaksin dos kedua selain beberapa strategi dilaksanakan Badan Bertindak COVID-19 Kebangsaan (CITF) Negeri Perak.

Beliau berkata antara strategi tersebut adalah pembukaan dua pusat pemberian vaksin (PPV) baharu iaitu di PPV Proton di Tanjung Malim dan PPV Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampar bagi mempercepatkan program vaksinasi.

“Kerajaan negeri juga mencadangkan pembukaan PPV mega secara pandu lalu di Taman Tema Lost World of Tambun dengan jangkaan penggunaan maksimum antara 89 peratus hingga 94 peratus iaitu meliputi sasaran kadar suntikan 5,000 hingga 7,700 sehari,” katanya menerusi sidang media secara maya hari ini.

Beliau berkata turut dirancang adalah pembukaan tiga PPV khas untuk industri iaitu PPV Manjung, PPV Kinta serta PPV Larut Matang dan Selama.

Menurut Saarani, menerusi program Jangkauan Komuniti (Outreach), pasukan Agen Basmi COVID-19 akan digerakkan ke lokasi yang merekodkan kadar pendaftaran vaksin yang rendah terutamanya di kawasan pedalaman atau lokasi yang tiada kemudahan telefon atau liputan Internet.

Beliau berkata sejajar perkembangan terbaharu itu, Perak akan mempunyai 101 PPV termasuk klinik dan hospital swasta bagi membolehkan lebih ramai rakyat negeri ini mendapatkan vaksin secepat mungkin jika bekalan vaksin baharu diterima.

“Sekiranya bekalan vaksin tiba seperti dijadualkan, Perak mampu merekodkan kadar suntikan sebanyak 24,000 sehari dan jumlah itu boleh mencapai hingga 30,000 sehari jika menerima lebih banyak bekalan vaksin selepas ini,” katanya.

Beliau berkata sasaran kerajaan negeri untuk beralih ke fasa ketiga PICK memerlukan kerjasama semua pihak termasuk mengurangkan kluster kilang selain mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan.

“Saya yakin sekiranya sikap baik ini diteruskan oleh warga Perak, matlamat kita ke fasa ketiga awal minggu depan dapat diteruskan. Sama ada kita negeri pertama yang capai fasa ketiga itu, ia bergantung kepada rekod dan pencapaian negeri masing-masing,” katanya.

Saarani berkata seramai 1,235,218 atau 66.3 peratus penduduk Perak berusia 18 tahun ke atas sudah membuat pendaftaran vaksin menerusi aplikasi MySejahtera dan setakat ini seramai 239,147 penduduk telah menerima dos lengkap. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.