Ismail Sabri Dilantik Timbalan Perdana Menteri – PMO

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Pelantikan yang dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu diumumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Kenyataan itu turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan yang mengetuai Kluster Keselamatan dan mengekalkan portfolio sebagai Menteri Luar.

“Pelantikan ini akan dapat membantu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini,” menurut kenyataan itu.

Pelantikan Hishammuddin pula akan membantu perdana menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Kedua-dua pelantikan berkenaan telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berkuat kuasa serta-merta.

Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan pelantikan itu diharap akan dapat meningkatkan lagi keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang sedang dihadapi negara.

Selain itu, ia diharap dapat memperkuatkan lagi perpaduan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan serta memperkukuhkan kerajaaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti.

“Pejabat Perdana Menteri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishammuddin di atas pelantikan ini,” kata kenyataan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.