Pemberian Vaksin Di Perlis Wajar Dipertingkat Untuk Beralih Ke Fasa Tiga PPN

BERA,6 Julai – Proses pemberian vaksin COVID-19 di Perlis wajar dipertingkat bagi membolehkan negeri itu beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan lebih cepat, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Perlis, yang kini dalam Fasa Dua PPN, mampu mencapai kadar vaksinasi yang ditetapkan untuk beralih ke fasa seterusnya berdasarkan keluasan dan bilangan penduduk di negeri itu.

“Semalam tiada sebarang kes positif COVID-19 dilaporkan di Perlis dan mungkin kalau kita dapat cepatkan proses pemberian vaksin, mereka ke fasa ketiga lebih cepat, tambahan negeri itu pun kecil dan penduduk tidak ramai,” katanya kepada Bernama selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Semai Bakti Felda Sebertak di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof dilaporkan berkata pihaknya percaya Perlis mampu beralih ke Fasa Tiga PPN menjelang Oktober ini.

Beliau berkata jika Perlis memperoleh bekalan vaksin yang mencukupi, pihaknya yakin negeri itu mampu mencapai imuniti kelompok 80 peratus menjelang suku tahun terakhir iaitu pada bulan Oktober atau selewat-lewatnya November ini.

Setakat ini, Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang telah beralih ke Fasa Dua PPN manakala Pulau Pinang akan menyusul mulai esok.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata penilaian bagi membolehkan mana-mana negeri termasuk Perlis untuk beralih ke fasa berikutnya akan dibuat dari semasa ke semasa.

Mengulas program hari ini, Ahli Parlimen Bera itu memaklumkan vaksinasi di kawasan tersebut dibahagikan kepada lima zon bagi memudahkan penduduk setempat.

“Kita tak ada PPV Mega, kerana itu kita turun ke kawasan-kawasan dan lakukan program imunisasi ini, ia lebih mudah kerana mereka tidak perlu susah payah ke bandar untuk mendapatkan suntikan,” katanya.

Beliau juga berkata kira-kira 41,000 penduduk Bera berusia 18 tahun ke atas telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin dan pihaknya merancang untuk meningkatkan jumlah itu dengan program turun padang oleh sukarelawan. – BERNAMA