Sidang Khas Dewan Rakyat Lima Hari Mulai 26 Julai – Pejabat PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan sidang Dewan Negara pula diadakan selama tiga hari bermula 3 Ogos.

“Kerajaan telah bersetuju untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos 2021,” menurut kenyataan itu.

Sidang khas Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

Pejabat Perdana Menteri juga memaklumkan berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Nota Jemaah Menteri telah diedar secara berutus kepada Jemaah Menteri untuk mengambil maklum mengenai perkara itu, kata Pejabat Perdana Menteri.

Pada Jun, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahas Ahli-ahli Dewan Rakyat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.