Moratorium Jaga Rakyat Atau Untungkan Bank – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Pengumuman bantuan yang baik tanpa pelaksanaan yang baik adalah sia-sia dan tidak berguna malah keseriusan kerajaan membantu rakyat perlu ditunjukkan dengan keberkesanan pelaksanaan, bukan hanya sekadar retorik berkuasa.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata bantuan PEMULIH yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini adalah amat dinantikan oleh rakyat dan antara yang menjadi fokus utama bukan sahaja bantuan ‘one off’ tetapi pengeluaran akaun 1 KWSP dan lanjutan moratorium.

“Kita semua tahu rakyat sangat berharap lanjutan moratorium automatik tanpa syarat dan caj sekurang-kurangnya enam bulan ke depan. Hal ini kerana lanjutan ini akan mengurangkan beban kewangan serta tanggungan rakyat ketika ini.

“Namun begitu, sejurus selepas pengumuman telah timbul isu syarat ditetapkan oleh bank yang akan memberi beban serta kesan buruk kepada rakyat yang sedang kesempitan dan kesusahan.

“Walaupun ketika ini tidak semua bank menetapkan syarat tersebut, tetapi saya amat berharap kerajaan terutamanya Menteri Kewangan sendiri dapat memastikan semua bank di Malaysia mematuhi apa yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Usahlah menabur garam di luka. Rakyat sangat susah, janganlah disusahkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat seterusnya menambah, Wanita UMNO juga berharap segala proses permohonan dimudahkan untuk rakyat tanpa perlu berhadapan dengan birokrasi yang menjadi beban serta kesusahan kepada rakyat.

“Menteri Kewangan perlu peka dan melaksanakan pemantauan terhadap pihak bank yang menindas rakyat yang sedang terdesak.

“Menteri Kewangan juga perlu memastikan pihak bank menyatakan secara jelas serta telus nilai faedah yang dikenakan terhadap lanjutan moratorium yang diluluskan agar pada masa akan datang ia tidak menyusahkan rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.