Malaysia Terima Sejuta Dos Vaksin Pfizer Sumbangan AS

SUBANG, 5 Julai – Malaysia hari ini menerima sejuta dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNtech sumbangan Amerika Syarikat (AS) untuk terus menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang rancak berlangsung ketika ini.

Pesawat kargo TH 384 jenis Airbus Boeing 767 milik Raya Airways yang membawa bekalan vaksin itu selamat mendarat kira-kira 8.10 pagi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

Ketibaan pesawat berkenaan disambut Menteri Penyelaras PICK yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Brian McFeeters.

Berlepas dari Singapura kira-kira 7 pagi hari ini, bekalan vaksin berkenaan dihantar dari Cincinnati/Northern Kentucky International Airport 2 Julai lepas dan melalui beberapa hentian sepanjang tiga hari sebelum tiba di Malaysia.

Bekalan vaksin itu adalah sumbangan kedua negara luar selepas Malaysia menerima satu juta dos vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca dari kerajaan Jepun Khamis lepas.

Sementara itu, McFeeters berkata sumbangan itu mencerminkan kerjasama rapat antara Malaysia dan AS.

“Kami mempunyai kerjasama kukuh dalam isu kesihatan awam dan ini adalah yang terbaik daripada kami sekarang, selamatkan Malaysia selamatkan nyawa.

“Kerajaan AS komited bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang dijalankan, untuk memperluas liputan vaksin dan mencapai sasaran untuk pemulihan,” katanya pada sidang media bersama Khairy hari ini.

Peruntukan vaksin ke Malaysia adalah sebahagian daripada strategi global pentadbiran Biden untuk berkongsi 80 juta dos vaksin di seluruh dunia pada musim panas ini.

Pada masa sama, Khairy menyatakan penghargaan kepada kerajaan AS atas sumbangan satu juta dos vaksin Pfizer yang tiba hari ini.

Beliau berkata Malaysia berharap dapat terus bekerjasama dengan AS serta negara-negara lain bagi mendapatkan akses untuk memperoleh lebih banyak vaksin. – BERNAMA