Kerajaan Patut Fokus Titah Istana… Fikirlah Nasib Rakyat Demi Kelangsungan Hidup – Razlan

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menegaskan kerajaan sepatutnya fokus kepada titah Istana dan berlapang dada untuk bertindak demi kepentingan rakyat, bukan seperti hari ini melakukan pelbagai alasan dan ugutan untuk memastikan kerajaan masih kekal berkuasa.

Katanya, kerajaan yang sepatutnya dijadikan tempat bergantung harap sudah tidak boleh diharapkan kerana menjadi kerajaan yang zalim membiarkan rakyat menderita tanpa ada pembelaan.

“Bertindak sebagai kuku besi di dalam pentadbiran kerajaan, banyak yang disuarakan ibarat menyiram air di daun keladi,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit.

Beliau berkata demikian berikutan sehingga ke hari ini masih tidak ada tarikh untuk persidangan Parlimen biarpun Ke Bawah Duli Tuanku telah menitahkan bahawa persidangan boleh dilakukan.

“Ke Bawah Duli Tuanku terpaksa memanggil Speaker dan Timbalan Speaker kedua-dua dewan untuk menyatakan hasrat Istana dan niat baik Majlis Raja-Raja. Sehingga ke tahap inipun Kerajaan Tan Sri Muhyiddin (Muhyiddin Yassin-Perdana Menteri) masih berdegil tidak mahu mematuhi titah Istana.

“Ramai yang sengaja lupa dan mengalihkan isu sebenar, cerita politik kembali hangat ketika ini sedangkan pada minggu kedua Jun, Istana telah mengeluarkan titah untuk ketua-ketua parti dipanggil mengadap YDPA (Yang di-Pertuan Agong), sebabnya, adalah jumlah jangkitan COVID semakin tinggi dan ramai rakyat yang terkorban.

“Ada banyak persoalan yang timbul, kerajaan sudah diberi kuasa penuh untuk melakukan apa sahaja bentuk pentadbiran demi menyelamatkan nyawa Rakyat. Ke Bawah Duli Tuanku amat risau dengan keadaan ini. Justeru itu, Ke Bawah Duli mahu mendapatkan pandangan kepada semua Ketua-Ketua Parti.”

Ujarnya, apabila situasi makin kronik, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku mengambil sikap bertanggungjawab memanggil semua kepimpinan parti dan juga golongan profesional bagi mendapatkan berita sahih apa sebenarnya terjadi di bawah.

“DYMM Tuanku tidak boleh bergantung jawapan dari Perdana Menteri, kerana tiap-tiap minggu hari rabu, Perdana Menteri akan mengadap DYMM Tuanku.

“16 Jun, Istana telah mengeluarkan titah untuk kerajaan memanggil Parlimen bersidang secepat yang mungkin malah Istana menurunkan titah Pelan Pemilihan Negara mesti dibahaskan di dalam Parlimen.

“Niat Istana adalah untuk membolehkan kerajaan mempunyai semak dan imbang malah boleh mendapatkan cadangan demi untuk memberikan rakyat formula terbaik untuk keluar dari masalah pandemik, masalah ekonomi, masalah sosial.”

Namun kata Razlan, sikap dingin Perdana Menteri terhadap titah Istana ini telah menyebabkan pertikaian politik yang teruk dan krisis Perlembagaan nampak jelas apabila pakar-pakar yang bercakap memberikan kekeliruan kepada rakyat jelata.

“Dalam masa rakyat sedang susah, sedang berusaha keluar dari masalah ini, kerajaan terus bermain Politik.

“Ini telah mengheret UMNO juga di dalam kancah kegagalan Tan Sri Muhyddin, UMNO dijadikan ‘punching bag’ untuk mengalihkan isu sebenar, dari awal lagi, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah meletakan racun ke dalam UMNO iaitu racun kuasa.

“Inilah nasib rakyat jelata, terus tidak dibela dengan sebaiknya, kerajaan melakukan perancangan secara ‘ad-hoc’, semenjak bulan Januari darurat dilakukan, tidak dibuat perancangan, mereka lebih suka buat ‘business’, dibiarkan nasib rakyat mengikut keadaan.”

Dalam hal ini, beliau mengharapkan agar anggota akar umbi UMNO terus fokus kepada titah Istana.

“Apa lagi yang UMNO ada sekira UMNO bukan lagi pembela kepada Raja-Raja Melayu, apa lagi yang UMNO ada sekira rakyat menangis, UMNO ketawa, rakyat memerlukan tempat bergantung harap, kerajaan ini sudah gagal menjaga rakyat, rakyat mengharapkan ada parti membela mereka.

“Nasihatlah kepada Perdana Menteri, saya dengar beliau tidak sihat, kita doakan kesihatan beliau, semoga Allah SWT membuka hati beliau untuk menyerahkan kuasa kepada UMNO.

“Bincang elok-elok demi kelangsungan rakyat dan negara, jadilah seorang negarawan yang akan dikenang oleh rakyat suatu hari nanti,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.