Hantaran Di Facebook Mengenai Hospital Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Hospital Kuala Lumpur (HKL) ingin memaklumkan mengenai hantaran facebook yang tular seperti berikut :

Mengenai seorang pesakit yang dirawat di atas lantai di Jabatan Kecemasan dan Trauma. Pesakit dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma secara tiba-tiba dalam keadaan tidak sedarkan diri, tiada denyutan dan tidak bernafas. Pada ketika itu, semua katil telah digunakan dan pada masa tersebut didapati lantai yang mempunyai permukaan rata yang terbaik maka CPR (Cardio-Respiratory Resuscitation) dilakukan serta merta. Walau bagaimanapun pesakit tidak dapat diselamatkan. Oleh kerana sebab kematian tidak dapat dikenal pasti, jenazah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat (post mortem) dan kini menunggu keputusan.

Berhubung terdapat gambar seorang pesakit yang didapati terbaring dan dirawat di atas lantai, kes tersebut merupakan kecemasan di mana beliau mengalami sawan dan mempunyai risiko jatuh daripada katil kanvas. Atas faktor keselamatan dan rawatan segera, beliau telah dibaringkan secara mengiring kekanan untuk mengelakkan air liurnya masuk ke dalam saluran paru-paru yang mana akan memberi risiko kepada pesakit.

Berkenaan isu kekurangan katil pesakit di HKL, dimaklumkan bahawa penggunaan katil pada masa ini adalah meningkat berikutan terdapat pertambahan penerimaan kes COVID-19 dan kebanyakan kes adalah pada Tahap 4. Walau bagaimanapun, perancangan terhadap pengurusan katil sentiasa diteliti di mana penggunaan katil hanyalah mengikut keperluan semasa dan HKL juga telah menangguhkan kes-kes pembedahan elektif sejak Disember 2020 bagi memberi keutamaan kepada kes-kes kecemasan yang lebih memerlukan penggunaan katil.

Mengenai persoalan berhubung bekalan oksigen di wad, pada masa ini bekalan oksigen sama ada jenis piping atau silinder masih di tahap yang mencukupi. Pihak HKL sentiasa menyusuli syarikat pembekal untuk memastikan proses bekalan sentiasa di tahap optima bagi keperluan oksigen di wad-wad HKL. Sekiranya terdapat keperluan bekalan oksigen yang tinggi pada satu-satu masa, bekalan tersebut akan diambil daripada wad yang kurang penggunaannya dan digunakan di wad yang lebih memerlukan.

Bagi persoalan aturan pesakit COVID-19 di HKL, dimaklumkan bahawa pengurusan kes-kes ini diselia oleh Central Region Covid-19 Unified Command Center (UCC) yang mengelola seluruh kes COVID-19 di Selangor dan Kuala Lumpur. Untuk makluman, melalui aturan daripada UCC, HKL akan menerima rujukan kes-kes kritikal dan kecemasan seperti dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di MAEPS, Selangor yang sedang menerima kes Tahap 1 sehingga 2 dan juga Tahap 3 sehingga 4 pada masa ini.

Berkenaan laporan terdapat kekangan kapasiti katil serta para petugas yang tidak mencukupi di Intensive Care Unit (ICU), penggunaan katil pada masa ini adalah berada ditahap sangat tinggi. Untuk makluman, alat-alat perubatan seperti oksigen, katil dan lain-lain sentiasa berada di dalam perancangan dan permintaan kepada pihak pembekal mengikut keperluan semasa. Selain itu, tenaga kerja di ICU dibantu oleh para petugas yang juga merupakan kakitangan yang bertugas di wad-wad biasa serta klinik di HKL.

HKL juga menjalinkan kerjasama dengan Hospital Rehabilitasi Cheras dan Institut Perubatan Respiratori. HKL akan merawat pesakit-pesakit yang kritikal sehingga menurun ke tahap tidak kritikal. Kemudian pesakit-pesakit ini akan dirawat di hospital-hospital ini.

Sekian, terima kasih.

YBHG. DATUK DR. HERIC CORRAY
PENGARAH HOSPITAL KUALA LUMPUR

Sumber: HKL, Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: MOHD ARIFF BIN MUDA
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
HOSPITAL KUALA LUMPUR
b.p Pengarah, HKL
Tel : 03-2615 5013/6393
Faks : 03-2698 9845

–BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.