Malaysia Bakal Terima 1 Juta Dos Vaksin Pfizer Sumbangan AS Esok
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Malaysia akan menerima satu juta dos vaksin COVID-19 Pfizer disumbangkan Amerika Syarikat (AS), esok (5 Julai), kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata sumbangan itu akan membantu meningkatkan lagi proses vaksinasi serta membawa perkembangan bermakna terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang berlangsung.
“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan sejawat saya, (Setiausaha Negara) Antony Blinken dan Kerajaan AS atas sumbangan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Hishammuddin berkata Malaysia juga amat menghargai sokongan AS melalui kedutaannya di Kuala Lumpur sejak pandemik melanda tahun lalu, termasuk sumbangan dalam bentuk kelengkapan perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bernilai US$250,000.
Beliau turut berharap hubungan erat serta mesra antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh demi manfaat bersama.
Dalam usaha memastikan akses global yang adil terhadap vaksin COVID-19, Hishammuddin berkata Malaysia sedia menjalin kerjasama menyeluruh dengan AS dalam penyelidikan, pengembangan dan pengedaran vaksin.
Katanya, menerusi suratnya kepada Blinken pada 4 Jun, Malaysia menyambut baik pengumuman Presiden Joe Biden pada 3 Jun mengenai sokongan untuk mengetepikan secara sementara perlindungan Harta Intelek (IP) vaksin COVID-19.
Di samping itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menerusi ucapannya di Persidangan Antarabangsa Nikkei pada Mei 2021 mengumumkan sokongan Malaysia untuk mengetepikan IP vaksin COVID-19.- BERNAMA