Jumlah 30 Atlet Ke Olimpik Tokyo Pencapaian Memuaskan – Reezal Merican

KUALA LUMPUR, 2 Julai- Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan jumlah 30 atlet negara yang disenaraikan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini sebagai satu pencapaian memuaskan.

Reezal Merican berkata beliau berpuas hati dengan jumlah atlet itu kerana mencapai sasaran ditetapkan, selain masih dalam lingkungan angka 30 dan ke atas seperti yang dicapai pada dua edisi sebelum ini, iaitu Rio 2016 dan London 2012.

Beliau juga mahu atlet yang baru disahkan penyertaan ke Sukan Olimpik Tokyo seperti dua atlet olahraga, Lee Hup Wei (lompat tinggi) dan Azreen Nabila Alias (100 meter wanita) selain Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik) dan Syaqiera Mashayikh (memanah) agar menggunakan peluang keemasan itu sebaik mungkin untuk menampilkan aksi terbaik walaupun mendapat slot menerusi tiket ‘wildcard’ mahupun merit.

“Penyertaan mereka ini cukup bermakna kerana mempunyai peluang dan impian untuk pecah rekod sendiri, perbaiki ranking serta cuba bawa balik pingat untuk negara,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengesahan oleh Majlis Olimpik Malaysia berhubung senarai 30 atlet berkenaan yang mewakili negara di Sukan Olimpik Tokyo.

Seramai 30 atlet membawa cabaran negara di temasya Olimpik London 2012 manakala 32 atlet menyertai edisi Rio 2016.

Reezal Merican sebelum itu meninjau persiapan atlet menembak Nur Suryani Mohamed Taibi di Lapang Sasar Menembak Gimnasium Tiga, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di sini.

Beliau pada masa sama berkata senarai 30 atlet itu adalah muktamad dan tiada sebarang penambahan atlet ke Tokyo.

Sementara itu, beliau mahu Nur Suryani menggunakan platform beraksi di Sukan Olimpik Tokyo sebagai peluang baginya membaiki ranking dunia ke-223 yang dihuninya ketika ini.

Beliau juga yakin persiapan rapi dilakukan atlet menembak berusia 38 tahun itu mampu memberi cabaran kepada penembak negara lain dalam penyertaan Olimpik keduanya selepas London 2012, ketika beraksi di Asaka Shooting Range nanti.

Dalam pada itu, Reezal Merican memberitahu persiapan atlet ke Tokyo ketika ini tidak terjejas biarpun beberapa kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan bermula esok.

Katanya segala aspek latihan dijalankan ketika ini mengikut konsep gelembung sukan namun menasihati barisan atlet dan jurulatih agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga selain menjaga kesihatan diri bagi membendung penularan wabak COVID-19, sama ada di negara ini mahupun di Jepun.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.