RM6.03 Juta Untuk Bantu Golongan Terkesan COVID-19 Di Pahang

KUANTAN, 1 Julai – Kerajaan Pahang hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM6.03 juta bagi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 fasa tiga kepada golongan sasaran yang terkesan oleh pandemik COVID-19.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan itu akan diberi menerusi agihan bakul makanan, dan antara penerimanya ialah nelayan berdaftar, operator dan pekerja kantin serta dewan makan asrama sekolah dan penjaja tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan.

“Bantuan kali ini juga ialah tambahan kepada bantuan yang telah disalurkan sebelum ini menerusi pusat khidmat Dewan Undangan Negeri bagi menampung keperluan mereka yang sangat terkesan oleh COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pengumuman fasa tiga BPP COVID-19 itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan yang dikeluarkan kerajaan negeri bagi tujuan berkenaan berjumlah RM23.13 juta, dengan fasa satu bernilai RM7.8 juta diumumkan pada 24 Mei lepas.

Fasa satu melibatkan penerima daripada golongan miskin tegar, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas berusia lebih 80 tahun yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Fasa dua pula melibatkan peruntukan berjumlah RM9.3 juta dengan antara golongan sasaran ialah pengusaha bot, pemandu pelancong, operator dan pekerja kantin harian sekolah, penyedia perkhidmatan penghantaran dan pemandu e-hailing.

Turut menerima manfaat fasa dua yang diumumkan pada 4 Jun lepas ialah Orang Asli, penduduk kampung, veteran tentera dan pesara polis. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.