Lebih 8 Juta Dos Vaksin COVID-19 Diberikan Setakat Semalam – Dr Adham

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Sebanyak 8,083,685 dos vaksin telah diberikan kepada penduduk di negara ini setakat semalam di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi 5,774,667 penerima dos pertama manakala 2,309,018 telah menerima dos kedua, sekali gus melengkapkan vaksinasi mereka.

“Sebanyak 258,773 dos vaksin COVID-19 diberikan semalam, melibatkan pemberian 163,756 dos pertama dan 95,017 dos kedua,” katanya dalam hantaran Twitter beliau hari ini.

Beliau berkata lima negeri yang mencatatkan penerimaan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 303,050 orang, diikuti Sarawak (250,011), Johor (244,400), Perak (209,174) dan Kuala Lumpur (198,655). – BERNAMA