Laluan Kereta Api Tenom-Pangi, Rayoh Dijangka Pulih Dalam Dua Bulan

KOTA KINABALU, 1 Julai – Kerja-kerja pembaikan laluan kereta api antara Tenom-Pangi dan Rayoh yang mengalami kerosakan akibat banjir pada Mei lepas, sedang dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata perkhidmatan di kedua-dua laluan itu ditutup sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan.

“Batu di landasan itu dihanyutkan air banjir selain tanah dan tebing sungai juga runtuh di KM114, Rayoh KM124 dan KM130 Pangi menyebabkan kerosakan teruk pada landasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Bung Moktar meminta agar kontraktor yang terlibat dapat membina landasan sementara bagi membolehkan perkhidmatan kereta api di laluan berkenaan berjalan seperti biasa.

Katanya, bagi kemudahan penduduk di kawasan itu, Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) turut menyediakan dua ‘troli pemeriksaan’ di Rayoh dan Pangi bagi menggantikan perkhidmatan keretapi penumpang.

Bung Moktar mengulas mengenai video yang tular di media sosial baru-baru ini apabila penduduk di kawasan berkenaan terpaksa menggunakan troli sebagai kenderaan ke pekan Tenom bagi membeli barangan keperluan atau membawa hasil tanaman untuk dipasarkan.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata troli yang disediakan oleh JKNS itu hanya boleh membawa antara enam hingga lapan penumpang sahaja pada satu-satu masa dan bersedia sebagai pengangkutan kecemasan bagi penduduk di kawasan itu.

Katanya, JKNS juga sedang berusaha untuk menambah bilangan troli di kawasan terjejas dan beroperasi mengikut jadual perkhidmatan kereta api Rayoh-Tenom dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Penduduk yang terlibat diharap dapat bersabar kerana yang berlaku ini sukar dijangka disebabkan faktor bencana alam bagaimanapun JKNS sedang bertungkus-lumus menyelesaikan dan membaik pulih landasan agar perkhidmatan kereta api pulih seperti sediakala,” katanya. – BERNAMA