Malaysia Masih Di Fasa Satu PPN, Belum Capai Tiga Indikator Nilai Ambang Utama

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Malaysia masih di Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) memandangkan tiga indikator nilai ambang utama belum lagi dicapai.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peralihan fasa dalam PPN tidak bergantung kepada satu-satu tarikh tertentu.

“Masih ramai yang keliru dan menganggap kita telah beralih ke Fasa Dua… perlu ditegaskan bahawa kita masih berada dalam Fasa Satu.

“Jika kita sudah mencapai tiga nilai ambang dalam tempoh singkat, maka peralihan fasa seterusnya akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Kawalan Pergerakan itu di sini hari ini.

Justeru beliau mengingatkan agar semua bersama-sama mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi melandaikan lengkuk kes COVID-19, sekali gus membolehkan ketiga-tiga indikator berkenaan dicapai dalam masa terdekat.

Tiga indikator itu ialah purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.