Isu Doktor Kontrak KKM Dibawa Ke Mesyuarat Jemaah Menteri – Dr Adham Baba

PUTRAJAYA, 30 Jun – Isu pegawai perubatan kontrak yang belum diserap ke jawatan tetap akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata sehingga 31 Mei lepas terdapat 35,216 lantikan secara kontrak bagi tiga skim utama iaitu Pegawai Perubatan UD41 seramai 23, 077 orang, Pegawai Pergigian UG41 (5,000 orang) dan Pegawai Farmasi UF41 seramai 7,139 individu.

“Saya mohon doktor-doktor yang sedia ada dalam skim kontrak supaya bersabar dan bertenang.

“Kertas kerja telah disiapkan dan kita akan lihat keputusan jemaah menteri nanti,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu pada sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini hari ini.

Sebelum ini Dr Adham berkata KKM telah melaksanakan penambahbaikan skim pegawai perubatan kontrak iaitu menaikkan gaji dari UD41 kepada UD43 hampir menyamai gaji pegawai perubatan tetap.

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.