Ekonomi Sarawak Dibuka Selepas Selesai Program Vaksin Ogos

SIBU, 30 Jun – Kegiatan ekonomi di Sarawak dijangka akan dibuka semula, apabila imuniti kelompok dicapai selepas 80 peratus rakyatnya selesai menerima vaksin COVID-19 pada minggu ketiga Ogos nanti.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dengan tercapainya imuniti kelompok itu ancaman jangkitan COVID-19 akan menjadi kurang, dan orang ramai akan berasa lebih selamat menjalankan aktiviti ekonomi mereka seperti biasa.

“Penanda aras kita ialah 80 peratus (penduduk divaksin) dan kemungkinan keadaan kembali normal itu ada,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin industri (PPVIN), di Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, keadaan kehidupan akan berubah meskipun keadaan kembali normal, kerana rakyat masih perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ada pada masa sekarang, seperti memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri.

Menurutnya setakat semalam, seramai 149,743 atau 64 peratus penduduk di Bahagian Sibu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, hasil daripada respon positif penduduk di bahagian itu terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Sementara itu Abang Johari berkata, kira-kira 13,000 pekerja industri termasuk dari syarikat perkapalan, industri berasaskan kayu dan perladangan, akan diberi suntikan vaksin di PPVIN UCTS di sepanjang program yang bermula Isnin lepas.

Beliau berkata, pusat itu yang mampu memberikan sehingga 2,000 suntikan sehari, akan dibuka kepada orang ramai selepas kesemua pekerja industri itu selesai mendapat dos pertama mereka.

Abang Johari sebelum itu melancarkan dua buah bas untuk program vaksinasi ‘outreach’ COVID-19, yang akan menjadi sebahagian daripada empat pasukan bergerak di Bahagian Sibu untuk ke kawasan sasaran bagi memberi vaksin, khasnya kepada orang-orang tua dan terlantar sakit yang tidak dapat datang ke PPV.

PPV yang ada di Bahagian Sibu ketika ini terdiri dari Hospital Sibu, Hospital Kanowit, Klinik Kesihatan Sibu Jaya, Klinik Kesihatan Lanang, Klinik Kesihatan Selangau, Stadium Tertutup Sibu, Dewan Serbaguna Sibu Jaya dan Dewan Pejabat Daerah Kanowit, yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan.

Hospital swasta Rejang Medical Centre mengadakan PPV di Dewan Suarah Sibu, manakala KPJ Medical Specialist Centre, membuka PPV di premisnya, selain tujuh pengamal perubatan yang diluluskan mengadakan PPV di premis masing-masing, di sekitar bandar Sibu. – BERNAMA