Hampir 7.4 Juta Dos Vaksin COVID-19 Diberi Setakat Semalam – Dr Adham Baba

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Sebanyak 7,395,905 dos vaksin COVID-19 telah diberikan kepada penduduk di negara ini sehingga semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata jumlah itu merangkumi 5,308,849 penerima vaksin dos pertama dan 2,087,056 individu lagi menerima suntikan dos kedua.

“Sebanyak 168,956 suntikan vaksin COVID-19 diberikan semalam, daripada jumlah ini sebanyak 103,856 merupakan dos pertama manakala 65,100 adalah suntikan dos kedua,” katanya dalam hantaran Twitter beliau hari ini.

Beliau berkata lima negeri yang mencatatkan penerimaan dua dos vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 270,221 diikuti Sarawak (227,292), Johor (222,614), Perak (194,724) dan Kuala Lumpur (170,688). – BERNAMA